suria

Kerajaan Teruskan Usaha Bangun Industri Sukan: Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Usaha memupuk dan membangunkan industri sukan akan diteruskan meskipun Tahun Industri Sukan 2011/2012 berakhir bulan ini, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menaiktaraf peranan Bahagian Industri Sukan, yang ditubuhkan tahun lepas, sebagai pusat yang menyatukan pihak yang terlibat dalam industri tersebut.

"KBS perlu melihat sukan daripada perspektif yang berbeda iaitu tidak hanya sebagai penganjur acara sukan seperti Sukan Malaysia (Sukma) dan melatih atlet.

"KBS harus mula memikirkan selepas berjaya merangkul pingat emas, bagaimana kita mahu menilai atlet seperti Datuk Lee Chong Wei atau Muhammad Azizulhasni Awang.

"Bagaimana mahu menonjolkan personaliti mereka, menguruskan tajaan dan penjenamaan mereka," katanya kepada pemberita selepas berucap pada Persidangan Perniagaan Sukan Asia Pasifik di Hotel Berjaya Times Square di sini, Khamis.

Persidangan sehari itu dihadiri lebih 300 peserta dan antara lain membincangkan potensi dan cabaran masa depan industri tersebut.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Shabery berkata sektor korporat perlu membayar kadar pasaran bagi pemenang pingat emas Sukan Olimpik.

Beliau berkata pelbagai pakar seperti pemasar sukan, pengurus atlet, jurulatih, peguam dan pakar perubatan sukan perlu ada untuk menyokong atlet berpotensi emas bagi memastikan bahawa mereka kekal fokus kepada kejayaan berterusan.

"Kita memberi tumpuan untuk memenangi emas tanpa cukup penekanan kepada apa yang kita lakukan selepas menang," katanya.

"Sama seperti ketika kita menghoskan Sukan Komanwel pada 1998, memenangi emas Olimpik perlu mewujudkan desakan untuk lonjakan yang seterusnya bukan sahaja dalam soal persembahan sukan tertentu tetapi juga bagi industri sukan kita secara keseluruhan," katanya.

Katanya pelabur industri sukan bukan seharusnya melihat kepada pasaran Malaysia malah berkembang ke rantau Asean.

Ahmad Shabery berkata pada mesyuarat Menteri-Menteri Sukan Asean awal tahun ini, mereka sebulat suara memutuskan untuk menggalak dan membangunkan sukan sebagai industri utama di Asean dengan mengisytiharkan tahun depan sebagai Tahun Industri Sukan Asean 2013.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain