suria

Kumpulan AEON Taja Piala AFF Suzuki 2012

KLANG: AEON Co (M) Bhd (Kumpulan AEON) hari ini mengorak langkah dalam meningkatkan mutu bola sepak dalam kalangan negara Asean menerusi penajaan Piala AFF Suzuki 2012 yang akan berlangsung dari 25 Nov hingga 22 Disember ini.

Penajaan itu adalah selaras dengan falsafah korporat kumpulan berkenaan menyumbang kepada masyarakat yang mana ia beroperasi untuk terus menggalakkan kebajikan sosial dan pembangunan masyarakat.

Mengulas mengenai penajaan itu yang mana Malaysia merupakan juara bertahan kejohanan itu, Pengarah Urusan kumpulan itu, Nur Qamarina Chew berkata mereka bangga menjadi salah satu penaja kejohanan berprestij itu kerana ia akan membabitkan perlawanan hebat yang akan menghiburkan peminat.

"Ia juga platform baik yang membantu pembangunan bola sepak dalam kalangan belia," katanya.

Nur Qamarina berkata Kumpulan AEON akan menaja sebanyak RM2 juta untuk kejohanan berkenaan.

Justeru, bersempena dengan penajaan terhadap Piala AFF Suzuki 2012, AEON menyerahkan 10,000 biji bola berjumlah RM100,000 kepada 200 sekolah di negara ini.

Pada majlis yang diadakan di Pusat Membeli-Belah AEON Bukit Tinggi pada Rabu, sebanyak 60 sekolah rendah dan menengah dari Lembah Klang dan Selangor, setiap sebuah sekolah menerima 50 biji bola dan baucer membeli-belah.

Majlis penyampaian itu turut dihadiri Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Subahan Kamal yang merasmikan acara itu dan Pengarah Eksekutif AEON Co (M) Bhd, Mitsuru Nakata.

Mengulas mengenai penajaan bola kepada sekolah-sekolah, Nur Qamarina berkata program itu adalah sebagai sokongan terhadap usaha kerajaan membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi kerana ia akan merintis jalan ke arah meningkatkan tahap bola sepak dalam kalangan kanak-kanak yang masih kecil.

"Kami amat percaya terdapat banyak bakat di sekolah yang tidak berpeluang mempamerkan kemahiran mereka. Sumbangan ini akan membolehkan mereka meningkatkan kemahiran serta memupuk semangat dan daya saing berpasukan dalam kalangan mereka," katanya.

Subahan melahirkan penghargaan kepada AEON atas penajaan itu yang melihat nilai yang besar dalam bola sepak dan keperluan untuk melonjakkan tahap bola sepak Malaysia ke peringkat antarabangsa.

ami mahu lebih banyak firma korporat menaja pemain kita. Kita kehilangan ramai pemain berbakat kerana kebanyakan mereka tidak melihat bola sepak sebagai kerjaya.

"Maka, kami memerlukan firma-firma besar seperti Petronas misalnya, untuk menaja pemain kita. Banyak firma korporat menaja kelab-kelab asing. Sudah tiba masanya mereka menaja pemain tempatan," katanya.

Menjelang Piala AFF Suzuki 2012, Kumpulan AEON akan mempromosikan 'demam bola sepak' Piala Suzuki di 20 pusat beli-belah dan 25 kedai runcit di seluruh negara.

Peraduan khas, jualan, pameran bergerak dan promosi akan diadakan dari September hingga Disember ini.

Pada undian yang diadakan di Bangkok, Thailand baru-baru ini, skuad Malaysia telah diundi dalam kumpulan B bersama Singapura, Indonesia dan naib juara pusingan kelayakan.

Kumpulan A terdiri dari Thailand, Vietnam, Filipina dan pemenang pusingan kelayakan yang akan diadakan di Yangon, Myanmar dari 5 hingga 13 Okt depan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain