suria

Khairul Nizam Mahu Perbaiki Prestasi Sebelum Sukan Olimpik

SEPANG: Pelayar tunggal negara ke Sukan Olimpik London Khairulnizam Mohd Afendy mahu memperbaiki prestasi beliau sebelum bermulanya temasya sukan itu pada 27 Julai ini.

Pelayar dari Kedah berusia 19 tahun itu berkata terdapat beberapa aspek yang perlu beliau perbaiki dalam usaha bersaing dengan pelayar-pelayar terbaik dunia dari negara lain.

"Saya melihat permulaan saya dalam acara ini kerana kadang-kadang ia menjadi lambat dan kadang kala cepat...jadi saya akan menggunakan baki 10 hari yang ada untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada sebelum bermulanya saingan untuk acara kapal layar," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebelum berlepas ke London, lewat malam Selasa.

Turut serta ke London ialah bapanya merangkap pengurus perahu layar negara Mohd Afendy Abdullah dan skuad memanah negara. Acara Perahu Layar dijangka bermula pada 29 Julai ini di Akademi Pelayaran Weymouth dan Portland yang terletak di Pantai Selatan United Kingdom.

Ditanya mengenai tekanan selaku antara atlet termuda negara ke London, Khairul Nizam yang akan menyertai acara Laser Standard berkata beliau berjanji akan memberikan persembahan terbaik pada penampilan sulung beliau ke Sukan Olimpik.

"Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri kerana saya mahu persembahan terbaik pada kali ini dan menerusi temasya sukan kali ini mungkin akan membolehkan prestasi saya meningkat," katanya.

Beliau merupakan pelayar kedua negara ke Sukan Olimpik selepas Kevin Lim Leong Keat melakukannya pada tiga temasya sukan berkenaan iaitu di Sydney, Australia pada 2000, Athens, Greece pada 2004 dan Beijing, China pada 2008.

Sementara itu, Mohd Afendy berkata beliau yakin anak sulungnya mampu memberikan persembahan terbaik pada temasya sukan kali ini walaupun harus bersaing dengan pelayar-pelayar dari negara lain yang lebih berpengalaman.

"Dia (Khairul Nizam) mungkin atlet termuda dalam temasya sukan kali ini kerana kebiasaannya peserta yang menyertai acara Laser Standard merupakan mereka yang berpengalaman luas dalam acara sukan ini. "Namun, saya cukup berkeyakinan dia mampu melakukan kejutan memandangkan beliau telah bergiat dalam sukan kapal layar ini sejak berusia lima tahun lagi," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Walcott Teruja Kembali Ke Asia

Artikel Lain