suria

MSN Puji Penganjuran Sukma Pahang

KUANTAN: Majlis Sukan Negara (MSN) memuji tuan rumah, Pahang, atas kejayaan menganjurkan Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang melabuhkan tirainya pada Isnin.

Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong berkata MSN secara keseluruhan berpuas hati dengan prestasi atlet dan mutu penganjuran Sukma edisi ini.

"Mutu penganjuran sesebuah kejohanan dinilai berdasarkan prestasi atlet dan juga pencapaian pihak penganjur dalam mengatur pertandingan, baik dari aspek penyediaan venue dan kemudahan, peralatan sukan, makanan dan sebagainya," katanya kepada pemberita , Isnin.

Zolkples berkata program 'jabatan angkat' bagi setiap kontinjen yang mengambil bahagian yang diperkenalkan oleh penganjur seharusnya dicontohi negeri lain yang bakal menjadi tuan rumah pada edisi Sukma yang berikutnya.

Beliau berkata mutu pengadilan bagi sukan subjektif seperti wushu, karate dan silat pada Sukma Pahang adalah amat membanggakan dan tidak berat sebelah.

"Saya hampir tidak dapat mendengar sebarang rungutan berkenaan mutu pengadilan dari acara Wushu, berbeza daripada Sukma sebelum ini.

"Ini menunjukkan bahawa pengadil telah menjalankan tugas secara profesional dan ia harus dikekalkan pada Sukma berikutnya," katanya.

Zolkples berkata beliau turut berpuas hati dengan pencapaian yang ditunjukkan kesemua 1,707 atlet di bawah program pelapis yang mewakili negeri masing-masing apabila sebanyak 105 pingat emas, 107 perak dan 122 gangsa dimenangi oleh mereka.

"Atlet pelapis juga berjaya memecah 13 rekod Sukma berbanding hanya lima rekod kejohanan di Sukma Melaka sebelum ini," katanya. Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kontinjen Terengganu kerana berjaya menjadi johan keseluruhan Sukma Pahang dengan kutipan 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

Terengganu sebelum ini pernah menjadi johan bagi Sukma edisi Terengganu (2008), Melaka (2010) dan Kuala Lumpur (2011).

"Terengganu masih berjaya membuktikan bahawa mereka mampu menjadi juara walaupun acara sukan air tidak dipertandingkan pada edisi kali ini," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain