suria

Sukma 2012: Sarawak Cipta Kejutan Raih Emas Skuasy Lelaki Berpasukan

KUANTAN: Sarawak mengejutkan pasukan pilihan Selangor bagi merangkul emas skuasy berpasukan lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Gelanggang Skuasy MSP, Isnin.

Perseorangan ketiga Sarawak Bexter Jap muncul wira apabila menundukkan Marcus Yuen dari Selangor 11-6, 13-11, 6-11, 12-10 dalam perlawanan penentuan setelah kedudukan terikat 1-1.

Jap yang mengakui tertekan, berkata keyakinannya meningkat apabila beliau memenangi dua set pertama ke atas Yuen.

"Bagaimanapun ia tetap satu perlawanan yang sengit bagi saya. Marcus bukanlah calang-calang lawan.

"Beliau berjaya bangkit pada set ketiga dan pada set pertama, beliau meninggalkan saya dalam kedudukan 1-5," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Anak kelahiran Kuching itu berkata beliau amat berpuas hati dengan kemenangan emas tersebut memandangkan beliau hanyalah pemain skuasy amatur selain tidak berhasrat untuk menyertai skuad kebangsaan.

Sebaliknya pemuda berusia 18 tahun itu bercita-cita menjadi juruterbang dan akan mengikuti latihan di Filipina tidak lama lagi.

"Saya amat berterima kasih kepada 'coach' Kenneth Goh yang telah melihat potensi saya dan melatih saya untuk bermain pada peringkat Sukma. Begitu juga kepada kedua ibu bapa saya yang sentiasa memberi sokongan," katanya.

Terdahulu, perseorangan pertama Sarawak Affeq Abedeen menewaskan pemain Selangor Muhammad Zul Azri Abdul Jalil Azhar 10-12, 11-8, 11-7, 11-4 sekali gus merekodkan mata pertama bagi skuad itu.

Namun, dalam saingan perseorangan kedua Sanjay Singh gagal menyekat kemaraan Muhammad Addeen Idrakie Bakhtiar 11-4, 5-11, 5-11, 4-11 yang merupakan penyumbang mata tunggal untuk Selangor.

Sementara itu skuad tuan rumah, Pahang, memperoleh gangsa dengan mengalahkan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Dalam saingan berpasukan wanita, Pulau Pinang menewaskan Selangor 2-0 untuk merangkul pingat emas.

Perseorangan skuad itu Vaneesa Raj dan Low Wee Nee mudah mengalahkan lawan masing-masing; Yong Sue Ann 11-5, 11-4, 11-6 dan Tan Yan Xin 11-8, 11-5, 11-6.

Gangsa menjadi milik Kedah yang menumpaskan Wilayah Persekutuan 2-0.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain