suria

Suntikan Semangat Jurulatih Dorong Ku Azarul Raih Emas

PEKAN: Suntikan semangat daripada jurulatih, Faiz Musa berjaya mendorong atlet angkat berat Perlis, Ku Azarul Ku Othman mengungguli acara snatch dan clean & jerk kategori 94kg lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di sini Sabtu.

Ku Azarul, 18, yang baru pulih daripada kecederaan memenangi pingat emas apabila mengangkat bebanan 130kg acara snatch dan 152kg bagi clean & jerk dengan angkatan keseluruhan 282kg.

Pingat perak milik peserta Sarawak, Carmila Rungit yang melakukan angkatan keseluruhan 275kg (124kg snatch dan 151kg clean & jerk) manakala Muhammad Akhwaan Aziz dari Perak meraih gangsa dengan angkatan keseluruhan 263kg (116kg snatch dan 147kg clean & jerk).

Ku Azarul berkata beliau berpuas hati dengan pencapaiannya itu walaupun gagal memperbaharui rekod kejohanan.

"Saya tidak mungkin berjaya meraih pingat emas hari ini jika tanpa bantuan jurulatih," katanya kepada pemberita, Sabtu.

Atlet kelahiran Kangar itu berkata beliau menjadikan Faiz sebagai idolanya dan berhasrat beraksi bersama jurulatihnya itu pada Sukan SEA Myanmar tahun depan.

Ku Azarul berkata setelah menamatkan alam persekolahan tahun lepas, beliau memberi tumpuan penuh kepada sukan angkat berat dan bercita-cita menjadi atlet kebangsaan suatu hari nanti.

Sementara itu, Faiz memuji semangat anak didiknya itu yang memberikan persembahan terbaik walaupun baru pulih daripada kecederaan ketika menjalani latihan persiapan tiga minggu lepas.

Faiz yang juga atlet kebangsaan, berkata beliau berharap Ku Azarul akan bersamanya membawa cabaran Malaysia pada Sukan SEA Myanmar. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain