suria

PSM Puji Prestasi Atlet Sepak Takraw Wanita Di Sukma

KUANTAN: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memuji prestasi baik yang ditunjukkan skuad sepak takraw wanita sepanjang temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di sini.

Presidennya Datuk Ahmad Ismail berkata beliau terkejut dengan kemahiran yang dipamer mereka khususnya daripada pelajar sekolah yang mempunyai bakat besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

"PSM akan mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada mereka yang cemerlang di Sukma untuk diserapkan ke dalam skuad elit B negara.

"Saya akui bahawa sukan sepak takraw wanita negara masih baru dan kita amat memerlukan bakat-bakat muda yang berkebolehan bagi mengisi kekosongan skuad kebangsaan," katanya.

Ahmad turut mengucapkan tahniah kepada skuad sepak takraw wanita Terengganu dan Perak yang masing-masing meraih emas bagi acara antara regu wanita (Berdua) dan acara antara regu wanita (Bertiga).

"Kejayaan ini adalah hasil usaha persatuan sepak takraw peringkat negeri sendiri dan saya rasa bangga kerana mereka telah bersungguh-sungguh bukan hanya untuk memburu pingat emas di Sukma sebaliknya membawa perjuangan yang lebih besar iaitu menaik taraf pembangunan sukan sepak takraw di negara ini," katanya.

Beliau juga memuji Persatuan Sepak Takraw Pahang sebagai tuan rumah Sukma edisi ini kerana telah berjaya menganjurkan pertandingan yang bermutu.

"Saya harap lebih banyak pemain baru yang berbakat lahir dari Sukma edisi Pahang ini," katanya.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain