suria

Piala AFF Suzuki 2012: Mat Yo Tak Gentar Lawan Indonesia, Singapura

Norshahrul Idlan Talaha
Norshahrul Idlan Talaha
Norshahrul Idlan Talaha

PETALING JAYA: Penyerang Terbaik Kebangsaan 2011, Norshahrul Idlan Talaha tidak gentar berada bersama dengan naib juara 2010, Indonesia dan juara tiga kali Singapura dalam Kumpulan B pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2012 itu yang akan berlangsung November ini.

Undian kumpulan yang berlangsung pada Rabu lalu di Bangkok menyaksikan Malaysia akan bertemu Singapura, Indonesia dan naib juara pusingan kelayakan yang akan diketahui 13 Oktober ini.

"Undian telah dibuat dan kita kena terima keputusan itu dengan fikiran lebih terbuka. Saya menganggap undian itu seimbang dan tidak kisah dengan siapa pun lawan kami.

"Minggu depan pemain-pemain dijangka akan melaporkan diri dalam kem kebangsaan dan menjalani latihan," jelas penyerang pasukan Kelantan ini.

Norshahrul Idlan atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo berkata, latihan yang akan diadakan tidak lama lagi mampu memberi kombinasi yang baik sebelum kejohanan bermula.

"Buat masa sekarang saya juga turut menjalani pemulihan terhadap kecederaan lama (lutut) dan ia masih belum pulih seratus peratus.

"Namun saya yakin semuanya akan berjalan lancar dan akan cuba melakukan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K.Rajagobal berkata, sebagai persiapan, skuadnya juga akan menghadapi perlawanan persahabatan dengan Arsenal dan Manchester City hujung bulan ini.

"Kami telah menjalani persiapan rapi. Momentum kami berada dalam keadaan baik berdasarkan tiga perlawanan persahabatan sebelum ini.

"Saya berharap semua pemain yang dipilih mampu memberi keseimbangan dan keserasian menjelang Piala AFF Suzuki nanti," jelasnya dalam lam web kejohanan www.affsuzukicup.com.

Malaysia dilihat mendapat laluan sukar untuk mempertahankan Piala AFF Suzuki yang dimenangi dua tahun lalu dengan adanya dua pasukan yang dianggap halangan utama untuk mara ke pusingan seterusnya.

Skuad Harimau Malaya muncul juara edisi kelapan kejohanan dwi-tahunan itu pada 2010 selepas menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 menerusi perlawanan timbal balik.

Sebelum itu, pusingan kelayakan kejohanan itu akan berlangsung dari 5 hingga 13 Okt di Myanmar dengan format kalah mati melibatkan pasukan Brunei, Kemboja, Laos, Timor Leste dan tuan rumah.

Selain itu juara tiga kali Thailand, yang menjadi hos bersama Malaysia pada kejohanan kali ini, mendapat laluan mudah selepas diundi dalam Kumpulan A bersama juara 2008, Vietnam, Filipina dan pemenang pada pusingan kelayakan nanti.

Perlawanan Kumpulan A akan berlangsung di Stadium Rajamangala di Bangkok manakala saingan dalam Kumpulan B akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, dari 24 November hingga 22 Disember.

Dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir dan mereka akan bermain menggunakan format timbal balik bermula dari 8 hingga 13 Dis.

Pemenang saingan separuh akhir akan mara ke perlawanan akhir dengan menggunakan format yang sama pada 19 dan 22 Dis.

Jadual perlawanan Piala AFF Suzuki 2012:

Kumpulan B

Malaysia lwn Singapura pada 25 Nov

Malaysia lwn naib juara pusingan kelayakan 27 Nov

Malaysia lwn Indonesia 1 Disember

Artikel Berikut

Artikel Lain