suria

Sukma 2012: Dhabita Teruja Raih Pingat Emas Pada Hari Jadi ke-13

KUANTAN: Penerjun muda Nur Dhabita Sabri yang menyambut hari lahirnya yang ke-13, amat teruja hari ini apabila berjaya meraih pingat emas bagi acara terjun 3 meter papan anjal wanita pada hari terakhir acara itu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15, di sini.

Nur Dhabita, yang mewakili Wilayah Persekutuan, telah mengatasi penerjun dari Perak dan rakan sepasukannya dengan pungutan mata sebanyak 236.25 mata.

Penerjun dari Perak, Jasmine Lai menduduki tempat kedua dengan pungutan mata sebanyak 234.80 manakala Loh Zhiayi mewakili Wilayah Persekutuan di tempat ketiga dengan jumlah pungutan mata sebanyak 231.65.

Nur Dhabita, yang hanya mensasarkan untuk memenangi tempat ketiga dalam acara itu kerana beliau bukan penerjun pilihan, amat berpuas hati dengan persembahannya.

"Ini penampilan kedua saya, dan pertama kali berjaya meraih dua pingat emas dalam acara terjun," katanya kepada pemberita di Kompleks Renang Wisma Belia Bandar Indera Mahkota di sini.

Nur Dhabita turut meraih satu pingat emas dalam acara 3 meter papan seirama wanita apabila berganding dengan Loh Zhiayi. Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu berkata beliau hanya membuat persiapan selama dua bulan sebelum beraksi di sini.

"Kejayaan ini adalah juga untuk ibu bapa saya yang turut hadir di sini untuk memberi sokongan kepada saya," katanya yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin.

Anak bongsu daripada empat adik beradik itu ingin mengikut jejak penerjun lelaki negara, Bryan Nickson, yang banyak membantunya dalam menjalani latihan serta nasihat dalam bidang tersebut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain