suria

Kelantan Terima Piala Liga Super di Kota Bharu Sabtu Ini

KOTA BHARU: Kelantan akan menerima Piala Liga Super selepas pasukan itu melengkapkan jadual pertandingan menentang Sarawak di di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, Sabtu ini.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Rosmadi Ismail berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersetuju untuk menyampaikan piala berprestij itu di hadapan peminat dan penyokong pasukan itu.

Beliau berkata perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika menghubunginya hari ini ekoran rayuan KAFA dua hari lepas.

Sebelum ini, FAM mengumumkan akan mengadakan majlis penyampaian piala tersebut di Wisma FAM di Kelana Jaya, Petaling Jaya, pada 20 Julai ini.

Bagaimanapun pada hari tersebut, pasukan 'The Red Warriors' akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab Liga Perdana Inggeris, Queen Park Rangers (OPR) di Stadium Shah Alam, Selangor.

Walaupun baki satu perlawanan Liga Super, Kelantan dinobatkan juara liga Sabtu lepas setelah mengumpul 57 mata dan pasukan Singapura, Lions XII diumumkan sebagai naib johan musim ini selepas mengumpul 50 mata.

Mengenai perlawanan persahabatan dengan OPR, Rosmadi berkata pasukan Inggeris itu akan bertemu dengan peminat di Hotel Grand Riverview, Kota Baharu pada 19 Julai ini pada tengah hari sebelum menjalani latihan bersama Kelantan pada sebelah petang di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Kedua-dua pasukan kemudiannya akan diraikan dalam satu majlis makan makan di hotel berkenaan sebelum bertolak ke Shah Alam.

Badan Perhubungan Umno Kelantan akan menaja kos pengangkutan 40 buah bas untuk membawa penyokong Kelantan ke Stadium Shah Alam untuk menyaksikan perlawanan persahabatan tersebut. -BERNAMA

Artikel Lain