suria

Mancini Tanda Tangan Kontrak Baru Dengan City

PENGURUS MANCHESTER CITY, Roberto Mancini telah menandatangani kontrak baru bersama kelab itu untuk tempoh lima tahun lagi bernilai £7.5 juta semusim - sekaligus menjadikannya sebagai pengurus yang menerima bayaran gaji paling tinggi dalam Liga Perdana Inggeris.

Sebelum ini, pengurus kelab dalam liga perdana dengan bayaran tertinggi ialah Sir Alex Ferguson yang menerima sekitar £4 juta semusim daripada Manchester United.

Ini juga turut mencatat sejarah kerana dua pengurus dari dua buah kelab bandar Manchester menduduki senarai teratas sebagai pengurus paling tinggi menerima bayaran gaji.

Pengesahan perlanjutan kontrak pengurus asal Itali itu sekaligus mematikan spekulasi yang mengaitkannya dengan pasukan kebangsaan Rusia.

Persekutuan Bolasepak Rusia kini sedang mencari calon baru untuk jawatan pengurus kebangsaan.

"Saya berasa sangat gembira kerana akhirnya kedua-dua belah pihak berjaya menyelesaikan soal lanjutan kontrak ini yang akan membolehkan saya terus mengurus City sehingga 2017," kata Mancini.

Kontrak asal Mancini sebelum ini hanya berbaki setahun sahaja lagi sebelum tamat dan biasanya rundingan untuk kontrak baru akan diputuskan 12 bulan sebelum ia berakhir.

Mancini telah diangkat sebagai wira City selepas kelab itu berjaya merampas gelaran juara liga dari tangan jiran mereka United pada musim sudah.

Ia adalah kejuaraan City yang pertama sejak tahun 1968.

Keutamaan City sekarang ialah bukan sahaja untuk mempertahankan kejuaraan tersebut tetapi juga membuat impak dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Artikel Lain