suria

Kecederaan Tidak Halang Jackie Perbaharui Rekod Baling Tukul Besi

KUANTAN: Walaupun terpaksa menahan sakit akibat kecederaan pada bahagian bahu dan belakang, ia tidak mematahkan semangat Jackie Wong Siew Cheer untuk memperbaharui rekod dalam acara baling tukul besi kategori lelaki di Stadium Darul Makmur, Selasa.

Jackie Wong, 21, melakukan balingan sejauh 55.25m sekaligus memecah rekodnya sendiri (55.14m) ketika beraksi di Sukma edisi Melaka dua tahun lepas.

Pingat perak bagi acara itu menjadi milik rakan sepasukannya, Michael Sia Sung Dak (47.58m), manakala pingat gangsa pula dimenangi atlet Perak, Ng Chee Chew (45.39m).

Jackie Wong mengakui beliau agak tertekan dan merasa gugup ketika membuat balingan kali pertama pada kejohanan kali ini kerana risau gagal mempertahankan rekod Sukma yang diciptanya sebelum ini.

"Ini adalah Sukma terakhir bagi saya sejak mula menyertainya pada Sukma edisi Terengganu pada 2008. Namun saya berjaya mengawal keadaan untuk lontaran berikutnya," katanya.

Pemenang pingat gangsa bagi Sukan SEA Indonesia tahun lepas itu, berkata selepas ini beliau bercadang untuk berehat untuk memulihkan kecederaannya. - BERNAMA

Artikel Lain