suria

Ummi Hamimah, Malek Raih Emas Acara Ujian Masa

TEMERLOH: Dua atlet pelapis negara Ummi Hamimah Mohamad dan Malek Marcus Maccrone, masing-masing mempamerkan kayuhan bertenaga untuk meraih pingat emas dalam acara berbasikal ujian masa Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Bandar Baru Temerloh, di sini Isnin.

Ummi Hamimah yang mewakili Terengganu meraih emas keduanya pada temasya itu apabila mengungguli acara 500m ujian masa wanita dengan masa 39.642 saat.

Pelumba Selangor Farina Shawati Mohd Adnan menduduki tempat kedua dengan masa 40.309s manakala pelumba Perlis Jupha Som Net pada kedudukan ketiga dengan 40.407s.

Ummi Hamimah, 18, yang meraih emas dalam acara 200m pecut semalam, berkata latihan selama enam bulan di Melbourne, Australia ternyata membuahkan hasil apabila membantunya mencatat masa terbaik pada Isnin.

"Saya sangat berpuas hati dan catatan masa hari ini adalah yang terbaik dalam rekod peribadi saya yang mana sebelum ini hanya 40 dan 41 saat," katanya.

Sementara itu, Malek memenangi emas dalam acara 1km ujian masa lelaki apabila mencatatkan masa 1 minit 10.929 saat.

Pelumba Selangor itu mengenepikan cabaran Muhammad Harif Murlis dari Terengganu yang meraih perak dengan masa 1:11.110s manakala rakan sepasukannya Hamdan Hamidun di tempat ketiga dengan masa 1:11.368s.

"Latihan di Melbourne memang sangat membantu saya hari ini kerana latihan di sana memberi penekanan terhadap fizikal dan mental. Memang saya sentiasa positif ketika perlumbaan tadi.

"Catatan masa hari ini adalah antara yang terbaik saya," katanya.

Ummi Hamimah dan Malek dijadual menyertai Kejohanan Berbasikal Remaja Dunia di New Zealand pada 22 Ogos depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain