suria

Muhamad Hanif Sumbang Dua Emas Untuk Kedah

PEKAN: Muhamad Hanif Mohd Yunus menyumbang dua pingat emas untuk kontinjen Kedah dalam acara snatch dan clean & jerk bagi kategori 52kg lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di sini, Isnin.

Remaja berusia 18 tahun itu, bagaimanapun hampir kehilangan satu emas apabila angkatan terakhirnya semasa acara clean & jerk dibatalkan walaupun beliau berjaya mengangkat bebanan itu dengan sempurna.

Tidak berpuas hati dengan keadaan itu dalam acara yang berlangsung di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini, penyokong Kedah membuat bantahan menyebabkan tiga pengadil - Abdullah Awang, Roslan Ghazali dan Roszaimi Ibrahim mengkaji semula keputusan tersebut yang akhirnya berpihak kepada Muhamad Hanif.

"Pada ketika itu memang saya rasa tidak puas hati, tetapi saya bersabar dan tunggu keputusan pengadil. Alhamdulillah keputusan itu memihak kepada saya," kata Muhamad Hanif.

Atlet kelahiran Kuala Ketil, Kedah itu melakukan angkatan seberat 111kg untuk mengatasi peserta tuan rumah Muhammad Azroy Hazalwafie yang memenangi perak dengan angkatan 110kg.

Pingat gangsa milik atlet Sabah Calixtus Daunas yang melakukan angkatan seberat 105kg.

Ditanya sama ada beliau berminat mewakili negara, Muhamad Hanif yang mula melibatkan diri dalam sukan angkat berat sejak Tingkatan Tiga, berkata buat masa ini, beliau tidak mahu terlalu mengharap dan hanya mensasarkan merangkul lebih banyak emas pada Sukma 2014.

Terdahulu, dalam acara snatch, Muhamad Hanif tampil dengan aksi penuh yakin untuk melakukan angkatan terbaik 93kg.

Pingat perak dimenangi atlet Pahang, Muhammad Azroy (92kg) manakala Mohamad Shafiq Shafie dari Johor memperoleh gangsa dengan angkatan 87kg. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain