suria

Malaysia Letak Harapan Pada 30 Atlet Di Olimpik London

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 atlet akan membawa cabaran Malaysia pada Sukan Olimpik London yang akan bermula 27 Julai ini, kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Beliau berkata kontinjen Malaysia kali ini menampilkan atlet berkualiti tinggi dengan lebih banyak peluang untuk memenangi pingat.

"Pada Olimpik kali ini, kita mempunyai prospek lebih baik memenangi pingat berbanding di Beijing pada 2008. Kita mempunyai banyak atlet terjun yang berpotensi besar, pelumba basikal juga menunjukkan peningkatan prestasi, begitu juga skuad memanah lelaki. Bagi acara badminton, pemain-pemain utama kita juga akan beraksi di sana (London)," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima tajaan untuk kontinjen Malaysia ke Olimpik London di Muzium Sukan dan Hall of Fame MOM di sini, Isnin.

Pada majlis hari ini, MOM menerima tajaan daripada Telekom Malaysia, Dutch Lady, Coca-Cola, Maxis, Sports Toto Malaysia, Carlsberg, Milo, Astro Arena, Mesuma dan Sparkmanshop.

Tunku Imran berkata 30 atlet berkenaan adalah daripada sembilan jenis sukan iaitu memanah, olahraga, badminton, berbasikal, terjun, lawan pedang, sukan layar, menembak dan renang.

Dalam kalangan sukan tersebut, acara terjun mempunyai atlet paling ramai iaitu lapan orang yang menyertai temasya terbesar dunia itu berdasarkan merit.

Selain itu, badminton menampilkan enam pemain, berbasikal (lima), memanah (empat), renang (dua), olahraga (dua) dan masing-masing satu dalam acara lawan pedang, sukan layar dan menembak.

Mengenai isu pembawa bendera pada temasya itu, Tunku Imran berkata perkara itu bukan menjadi isu walaupun Pandelela Rinong Pamg tidak berada di negara ini untuk menerima Jalur Gemilang daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu ini. Pandelela Rinong, 19, dan atlet terjun negara yang lain, kini menjalani latihan di Guangzhou, China.

"Tiada perubahan siapa sebagai pembawa bendera. Walaupun Pandelela Rinong tidak berada di Malaysia, itu tidak bermakna kita akan membuat perubahan. Jalur Gemilang akan diserahkan kepada Ketua Kontinjen Tun Ahmad Sarji (Abdul Hamid)," katanya.

Kontinjen terbesar Malaysia pada temasya berkenaan ialah ketika di Tokyo pada 1964 dengan 64 atlet. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain