suria

Larian Hari Olimpik Disertai Lebih 11,000 Peserta

KUALA LUMPUR: Larian Hari Olimpik tahun ini mencatatkan sejarah apabila disertai 150 keluarga termasuk 450 penyertaan secara kumpulan melibatkan sejumlah 11,801 penyertaan.

Pengarah Urusan McDonald's (McD) Malaysia, Sarah Casanova berkata pihaknya terpaksa menutup kategori keluarga dan kumpulan disebabkan sambutan yang menggalakkan.

"Ia acara baru yang diperkenalkan tahun ini dalam usaha kami menggalakkan masyarakat setempat memilih gaya hidup aktif dan seimbang," katanya ketika ditemui selepas melepaskan peserta larian tersebut di Dataran Merdeka, Ahad.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata acara sukan tersebut boleh memupuk semangat perpaduan antara keluarga dan komuniti.

"Kita akan cadangkan kepada pihak penganjur lain supaya acara larian lain juga diselitkan kategori seperti ini memandangkan hanya McDonalds sahaja yang mengadakan larian sedemikian dan organisasi lain patut mencontohi mereka," katanya.

Takenori Mezaki, 44, bersama isterinya Yuki Mezaki, 43, dan anak lelaki mereka, Hiromichi Mezaki, 12, muncul juara kategori keluarga selepas mereka menduduki tempat pertama setelah menamatkan larian sejauh 3km.

Beliau yang kini menjadikan Malaysia sebagai rumah keduanya berkata beliau menyertai larian tersebut untuk menyihatkan badan selain ia dijadikan sebagai aktiviti sampingan.

Bagi Abdul Muim Abdul Aziz, 42, berkata beliau menyertai larian tersebut kerana ia melibatkan kategori keluarga yang pertama kali disertainya.

Beliau yang turut ditemani isteri Norazila Jaffar, 40, dan tiga anak mereka iaitu Muhammad Muizz Abdul Muim, 8, Muhammad Muqhritz Abdul Muim, 7, dan Puteri Azalea Zulaikha Abdul Muim, satu setengah tahun, nyata gembira dapat menamatkan larian tersebut.

"Sebelum ini kami tidak pernah menyertai larian melibatkan kategori keluarga dan sekiranya McDonalds anjurkan lagi, kami sekeluarga akan turut serta... kalau boleh biarlah lebih banyak pihak korporat anjurkan larian secara keluarga seperti ini," katanya yang bekerja sebagai pengurus bengkel.

Larian anjuran McDonald's dengan sokongan MOM itu diadakan setiap tahun bagi meraikan penubuhan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) selain bertindak sebagai platform untuk rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat.

Acara larian tersebut bermula 7 pagi dan dibahagikan kepada 13 kategori iaitu lelaki dan wanita terbuka, veteran junior lelaki, veteran senior lelaki, veteran wanita, remaja lelaki dan wanita, warga emas lelaki dan wanita, berkumpulan empat orang, murid sekolah lelaki dan perempuan, dan keluarga (dua dewasa bersama anak sehingga tiga orang).

Larian melibatkan tiga jarak iaitu 3km, 5km dan 7km. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain