KUANTAN: Kata-kata semangat dan inspirasi daripada ibu kesayangan mendorong penerjun Perak, Jasmine Lai bertekad meraih pingat emas dalam acara 3m papan anjal individu wanita di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-15 di sini, Ahad.Jasmine memenangi pingat emas dengan jumlah catatan mata 228.20 untuk mengetepikan penerjun dari Wilayah Persekutuan Loh Zhiayi (215.40 mata) manakala gangsa menjadi milik Adline Chin dari selangor dengan catatan 196.65 mata. "Anda boleh dapat emas....itulah perkataan yang selalu ibu katakan pada saya, memang kemenangan saya hari ini adalah untuknya," kata Jasmine yang sentiasa pegang kepada kata-kata semangat ibunya, Lim Yet Ching. Jasmine berkata demikian kepada pemberita selepas menamatkan acara tersebut di Kompleks Renang Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota, di sini.Pelajar tingkatan lima Sekolah Sukan Bukit Jalil itu berkata kejayaan itu juga merupakan persiapan untuk beraksi di Kejohanan Remaja Dunia, di Australia pada Oktober ini."Kejohanan ini juga pemanas badan untuk saya sebelum ke Australia nanti," kata gadis yang berasal daripada Ipoh itu. Sementara itu bagi acara 3m papan lelaki, penerjun Selangor, Chew Yiwei meraih pingat emas dengan catatan 386.40 mata menewaskan penerjun daripada Perlis dan Negeri Sembilan.Penerjun Perlis, Ahmad Amsyar Azman di tempat kedua dengan catatan 376.05 mata manakala penerjun Negeri Sembilan, Carlysle Chan memperoleh gangsa dengan pungutan 323.85 mata."Saya berpuas hati dengan terjunan saya dengan latihan yang kerap memang banyak membantu saya hari ini."Saya memang tidak sangka dapat pingat emas sebab sasaran saya hanyalah untuk mendapat pingat sahaja," kata pelajar tingkatan lima Sekolah Sukan Bukit Jalil. -BERNAMA