suria

Persatuan Sukan Jangan Terlalu Gopoh - Zolkples

KUANTAN: Majlis Sukan Negara (MSN) mengingatkan semua persatuan sukan kebangsaan agar membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum mengumumkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan atlet mereka ke Temasya Olimpik London 2012.

Ketua pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong berkata mengambil iktibar berhubung tindakan terburu-buru Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) membuat pengumuman atlet angkat berat negara, Azizah Fadzil layak ke Olimpik sebelum mendapat pengesahan akhir dari Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) tidak sepatutnya berlaku.

"Kita tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam perkara ini kerana kesilapan boleh berlaku namun saya harap selepas ini persatuan sukan kebangsaan lebih berhati-hati sebelum membuat sesuatu pengumuman tentang atlet mereka.

"Tindakan tersebut hanya akan menjejaskan semangat dan tumpuan atlet tersebut, lebih-lebih lagi bagi atlet muda seperti Azizah yang masih mempunyai banyak peluang untuk mewakili negara," katanya kepada pemberita selepas melawat atlet di perkampungan sukan atlet Temasya Sukan Malaysia (SUKMA), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah dekat sini hari ini.

Sebelum ini, PABM membuat pengumuman bahawa atletnya Azizah memperoleh satu slot ke London namun pengiraan semula yang dilakukan IWF terhadap kedudukan terkini dalam rangking Asia menyebabkan slot negara diambil oleh Vietnam yang mengutip 94 mata berbanding Malaysia yang hanya memperoleh 91 mata.

Zolkples berkata IWF telah menolak rayuan yang dilakukan oleh PABM dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini kerana Azizah sebenarnya tidak layak ke Olimpik London dan surat yang dikeluarkan oleh IWF sebelum ini bukan keputusan akhir dari badan induk angkat berat antarabangsa itu.

Sementara itu, beliau berkata MSN masih meletakkan Datuk Lee Chong Wei sebagai harapan penyumbang pertama pingat emas negara di Temasya Olimpik London.

"Kita harap Chong Wei dapat pulih sepenuhnya sebelum berangkat ke Olimpik dan tidak berhasrat untuk mengubah sasaran pingat yang telah diputuskan sebelum ini," katanya.

Chong Wei menggalas cabaran besar ke London apabila dipilih sebagai sandaran pingat emas pertama di temasya sukan terbesar dunia itu walaupun beliau masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan ketika beraksi di saingan Piala Thomas di Wuhan, China pada Mei lepas.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Webber Juarai GP Britain

Artikel Lain