suria

Kelantan Pertahan Liga Super Selepas Belasah Perak 6-0

KUALA LUMPUR: Kelantan berjaya mempertahankan Piala Liga Super yang dimenangi pasukan itu musim lepas apabila membelasah Perak 6-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, malam Sabtu.

Kemenangan ke-17 daripada 24 perlawanan liga itu membolehkan mereka memungut 57 mata, berkelebihan tujuh mata daripada pencabar terdekat, Lions XII dari Singapura dengan masing-masing masih mempunyai dua baki perlawanan.

Kelantan merupakan pasukan ketiga yang berjaya mempertahan piala itu sejak ia diperkenalkan pada 2004 yang dimenangi oleh Pahang, selepas Kedah melakukannya pada 2007 dan 2008 serta Selangor pada 2009 dan 2010.

Pada perlawanan itu, skuad The Red Warriors membuka tirai jaringan menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-17 sebelum Mohammed Ghaddar Mahmoud menggandakan jaringan dua minit kemudian selepas memanfaatkan bola hasil lorongan Indra Putra.

Kapten skuad The Red Warriors,Mohd Badhri Mohd Radzi menambah derita pasukan pelawat dengan gol ketiga, empat minit kemudian menerusi sepakan kencang dalam kotak penalti untuk menewaskan Mohd Nasril Nourdin di gawang Perak.

Indra Putra melengkapkan malam kegemilangan Kelantan apabila melakukan hatrik dengan menjaringkan gol keempat pada minit ke-29 dan gol keenam pada minit ke-48. Satu lagi gol Kelantan dijaringkan oleh Nurul Azwan Roya pada minit ke-38.

Perak bertambah malang apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-47 apabila kapten mereka, Shahrul Nizam Mustapa dikenakan kad merah oleh pengadil, Rahmat Jantan kerana mengasari Mohammed Ghaddar.

Sementara itu, pasukan tangga keempat liga, Selangor mencatat kemenangan 4-0 ke atas jiran mereka, Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam menerusi jaringan Azidan Sarudin pada minit ke-33, Mohd Amri Yahyah pada minit ke-46 dan ke-79 dan Ramez Dayoub pada minit ke-62.

Gergasi Merah diekori rapat oleh Terengganu yang mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Tiga gol skuad Penyu dijaringkan oleh Joseph Kalang Tie pada minit keempat, Mohamad Ashari Samsudin (minit ke-44) dan gol sendiri Mohd Reithaudin Awang Emran pada minit ke-77 manakala gol tunggal pasukan tuan rumah dijaringkan Rozaimi Abdul Rahman pada minit ketujuh.

Felda United turut mencatat kemenangan 3-1 ketika bertemu PKNS Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, hasil jaringan Farderin Kadir pada minit ke-22.

Negeri Sembilan yang tewas 2-3 kepada Kelantan, Selasa lepas bangkit dengan menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar hasil jaringan Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-42 dan S. Kunanlan pada minit ke-82.

Satu lagi pasukan dari Terengganu, T-Team pula terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila terikat 1-1 dengan Johor FC pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pasukan tuan rumah dikejutkan dengan gol pendahuluan pasukan pelawat menerusi Mohd Haris Safwan Kamal pada minit ke-31 sebelum Mohd Fadzli Saari menyamakan kedudukan untuk T-Team menerusi jaringan pada minit ke-56.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Webber Juarai GP Britain

Artikel Lain