suria

Jawatankuas Eksekutif FAM Akan Libatkan Dua Wanita

KUALA LUMPUR: Kongres Tahunan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) ke-48 pada Sabtu memutuskan menerima cadangan pindaan Artikel 33 statut FAM bagi memperuntukkan dua anggota Jawatankuasa Eksekutif terdiri daripada wanita.

Naib Presiden FAM Datuk Afandi Hamzah berkata kongres juga bersetuju menambah bilangan anggota jawatankuasa itu daripada lapan ke 10 orang, termasuk dua wanita. Peruntukan itu akan diguna pakai pada Kongres FAM 2013.

"Keputusan ini sejajar dengan peraturan Fifa (Persekutuan Bola sepak Antarabangsa) dan AFC (Konfederasi Bola sepak Asia)," katanya pada sidang akhbar selepas berlangsungnya kongres itu yang dirasmi dan dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

Afandi berkata pencalonan anggota wanita itu perlu melalui proses sebagaimana pencalonan sebelum ini, dengan persatuan bola sepak negeri perlu menghantar pencalonan kepada sekretariat sebelum Kongres FAM akan datang.

"Sekretariat FAM juga akan meminta pengesahan daripada calon sama ada bersetuju atau tidak dengan pencalonan itu," katanya.

Beliau berkata FAM akan menetapkan garis panduan kepada semua anggota gabungan mengenai kriteria calon wanita yang hendak dicalonkan.

Selain itu, Afandi memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pengurusan telah ditukar namanya kepada Jawatankuasa Integriti. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Webber Juarai GP Britain

Artikel Lain