suria

MSN Kawal Mutu Dan Kebersihan Makanan Atlet Sukma

KUANTAN: Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengambil langkah awal pencegahan dengan menentukan jenis menu, tahap kebersihan dan keselamatan makanan untuk atlet bagi mengelak berulangnya insiden keracunan makanan yang kerap berlaku pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) sebelum ini.

Pengarah Bahagian Pengurusan Acara MSN, Datuk Abdul Jalil Abdullah berkata MSN mendapat kepakaran daripada Institut Sukan Negara (ISN) dalam menentukan jenis menu agar ia bersesuaian dengan keperluan kalori semua atlet yang mengambil bahagian pada Sukma ke-15 di sini.

"Dalam menjaga kualiti makanan MSN turut menempatkan pegawai bahagian pemakanan bagi memastikan bahawa atlet dibekalkan dengan makanan yang menenuhi piawaian yang telah ditetapkan secara bersama dengan pihat penganjur, pembekal dan MSN sebelum ini," katanya, Jumaat.

Katanya atlet perlu mendapat makanan yang secukupnya agar tidak menjejaskan persembahan mereka apabila beraksi di gelanggang.

Abdul Jalil yang juga Setiausaha Jawatankuasa Teknikal Khas Sukma Pahang berkata pihaknya turut mendapat bantuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memantau tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang dihidangkan kepada atlet.

"Saya berharap semua ketua kontinjen dapat memastikan atlet mereka tidak mengambil makanan dari luar bagi mengelak daripada berlakunya risiko keracunan makanan," katanya.

Beliau berkata kebanyakan daripada kes kerancunan makanan pada temasya Sukma sebelum ini berpunca daripada atlet mengambil makanan dari luar.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain