suria

Skuad Ekuestrian Terengganu Yakin Raih Dua Pingat Emas

KUANTAN: Skuad ekuestrian Terengganu yakin mampu membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat menerusi acara 'edurance' berpasukan lelaki di Gelanggang Ekuestrian Tanjung Lumpur, Ahad ini.

Ketua kontinjen pasukan Terengganu, Wan Nawawi Ismail yakin dengan kemampuan keempat-empat pelumba lelaki yang akan mengambil bahagian dalam acara sejauh 80 kilometer itu.

"Semua pelumba kita berada dalam keadaan bersedia untuk mula malah tidak sabar-sabar lagi beraksi di gelanggang Ahad nanti.

"Kita bersyukur kerana kuda juga dalam keadaan baik dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan," katanya.

Empat pelumba lelaki yang akan mewakili skuad Penyu bagi acara 'edurance' berpasukan kategori lelaki itu ialah Muhammad Alif Sabidi, Mohamad Firdaus Hamid, Aminuddin Abdullah dan Ahmad Faisal Ahmad Fanizar.

Wan Nawawi berkata Terengganu yang turut menghantar pasukan wanita pada edisi kali ini berharap mereka mampu mempamerkan aksi terbaik.

Selain acara 'edurance', kontinjen Terengganu juga mengambil bahagian dalam acara 'showjumping' namun untuk itu tidak membuat sandaran pingat.

Enam pingat emas ditawarkan dari gelanggang ekuestrian melibatkan tiga acara iaitu 'endurance' sejauh 80km,'showjumping' (1.10m) dan acara 'dressage' (novis) melibatkan perseorangan dan berpasukan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain