suria

Sarawak Raih Tiga Pingat Emas Dalam Acara Taekwando

KUANTAN: Kontinjen Sarawak berjaya meraih tiga daripada enam pingat emas dalam acara taekwando pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-15 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, Rabu.

Pingat emas pertama Sarawak berjaya digondol oleh atlet wanita Dayang Farhanah Abang Sazali bagi kategori flyweight manakala dua lagi diperolehi menerusi Tiong Hung Teng dalam kategori middleweight lelaki dan Marlisa Tee Zalariffin dalam kategori walterweight wanita.

Manakala tiga pingat emas lagi diperolehi oleh atlet wanita Pahang Noraslinda Mohamed (middleweight), atlet lelaki Kedah Muhammad Al-Danial Mohd Rosli (flyweight) dan Bryan Konson dari Sabah dalam acara lelaki welterweight.

Acara taekwondo yang berlangsung di UMP, Gambang, dekat sini akan berakhir Jumaat ini iaitu sehari sebelum acara perasmian temasya itu Sabtu ini.

Sukma Ke-15 yang secara rasminya akan berlangsung dari 7 hingga 16 Julai bakal menyaksikan kehadiran 5,828 atlet mewakili 15 kontinjen termasuk Brunei.

Sementara itu, dalam acara bola sepak peringkat kumpulan, Pahang berjaya menundukan juara bertahan Terengganu 3-0 dalam Kumpulan A di Stadium Darul Makmur di sini.

Gol skuad muda Tok Gajah itu dijaringkan oleh Mohd Shafie Zakaria, Abdul Malik Mat Ariff dan Norfahme Hadzrin Nordin.

Dalam enam perlawanan peringkat kumpulan yang berlangsung lagi menyaksikan Sarawak mengalahkan Pulau Pinang 1-0 dalam saingan Kumpulan A.

Perlawanan Kumpulan B pula menyaksikan Selangor mengatasi Johor 4-1 manakala Kumpulan C, Brunei seri 1-1 dengan Kedah manakala dalam Kumpulan D, Wilayah Persekutuan mengalahkan Kelantan 2-1 dan Negeri Sembilan mengalahkan Melaka 1-0. - BERNAMA

Artikel Lain