suria

Kesabaran RVP Ada Hadnya & Begitu Juga Dengan Yang Lain

Van Persie tidak mahu menyambung kontrak bersama Arsenal.
Van Persie tidak mahu menyambung kontrak bersama Arsenal.
Van Persie tidak mahu menyambung kontrak bersama Arsenal.

APAKAH kelab ternama Arsenal kini sedang berhadapan dengan krisis paling besar dalam sejarah mereka iaitu teori domino yang bakal menyaksikan penghijrahan keluar beramai-ramai pemain ternama dan popular di kalangan peminat?

Kini dengan pengumuman Robin van Persie (RVP) yang beliau tidak akan menandatangani kontrak baru, ia seperti membuka pintu empangan untuk membolehkan air melimpah keluar tanpa sebarang halangan lagi.

Kontrak lama kapten pasukan Arsenal itu hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi untuk tamat dan tanpa menandatangani kontrak baru ini bermakna, RVP bakal menjadi ejen bebas sekaligus Arsenal tidak akan mendapat apa-apa dari hasil perpindahannya itu.

Jika Arsenal mahu memastikan yang pelaburan mereka berbayar semula, mereka tidak ada pilihan melainkan menjual pemain itu dalam tempoh kontraknya masih berbaki.

Hanya dengan itu mereka akan memperolehi sesuatu hasil daripada penjualan pemain Belanda tersebut.

Pengumuman RVP itu sebenarnya meletakkan Arsene Wenger dan para pengarah kelab dalam situasi yang sangat rumit dan memeningkan.

Ya mereka boleh terus simpan RVP sehingga kontraknya selesai semusim dari sekarang tetapi tidak akan memperolehi apa-apa jika pemain itu berpindah kelab.

Pada masa yang sama jika mereka menjualnya sekarang, mereka akan memperolehi wang pelaburan mereka semula ketika membelinya dahulu namun mereka akan kehilangan khidmatnya untuk musim baru nanti.

Jadi yang mana satukah menjadi pilihan Arsenal dan Arsene Wenger? Pastiya mereka berada dalam dilema.

Namun, keputusan RVP untuk menyertai beberapa pemain ternama Arsenal yang lain untuk meninggalkan kelab itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Hanya lapan tahun yang lalu, Arsenal adalah sebuah pasukan yang tidak boleh ditumpaskan. Mereka memenangi Liga Perdana Inggeris tanpa kalah dalam satu perlawanan pun.

Sebaliknya pencapaian tersebut terbukti menjadi titik tolak kepada kemusnahan secara perlahan-lahan - hanya kerana keengganan kelab itu untuk berubah dengan peredaran masa.

Mereka hanya menang Piala FA pada musim berikutnya yang juga menyaksikan musim terakhir Patrick Vieira bermain untuk Arsenal. Dan itu adalah pada tahun 2005.

Selepas itu kabinet trofi Arsenal hanya dipenuhi dengan habuk dan debu.

Penghijrahan Vieira ke Juventus sebenarnya adalah bermulanya era malap untuk Arsenal kerana ia kemudian diikuti oleh yang lain.

Mereka ialah Robert Pires, Sol Campbell, Ashley Cole, Thierry Henry, Freddie Ljungberg, Jens Lehmann, Gilberto Silva, Emmanuel Adebayor, Kolo Toure, William Gallas, Gael Clichy, Cesc Fabregas, Emmanuel Eboue dan akhir sekali Samir Nasri.

Sekarang tiba giliran RVP pula yang telah dinobatkan sebagai pemain terbaik musim lalu. Bagaimana Arsenal boleh membenarkan mereka kehilangan kapten pasukan dan pemain terbaik EPL adalah sesuatu yang menakjubkan.

Tanpa RVP atau pemain berpengaruh yang lain, bagaimanakah Arsenal berupaya untuk bersaing dengan Manchester United, Chelsea, Tottenham dan Man City untuk juara liga.

Di atas kertas, Wenger nampak telah menjangkakan situasi ini dan oleh itu telah menghabiskan berjuta pound sterling untuk membeli penyerang Montpellier, Olivier Giroud pada harga £13 juta dan pemain antarabangsa Jerman, Lukas Podolski pada harga £11 juta.

Tetapi sama ada mereka dapat mengantikan pengaruh RVP masih belum pasti lagi.

Para pemerhati bolasepak berkata Henry, Fabregas dan Nasri kesemuanya meninggalkan Arsenal kerana mereka tidak nampak bagaimana caranya Arsenal boleh memenangi sebarang kejuaraan atau trofi.

Kini RVP, selepas lapan tahun menyarung jersi Arsenal mungkin juga mempunyai perasaan yang sama sekarang.

Theo Walcott, sepertimana RVP akan tamat kontrak menjelang hujung musim depan juga tidak memberi jawapan pasti sama ada akan menandatangani kontrak baru.

Dan bagaimana pula dengan Jack Wilshere - pemain kelahiran Inggeris yang paling berbakat yang pernah dilahirkan oleh EPL selepas Wayne Rooney?

Rooney hanya berusia 18 tahun apabila dia meninggalkan Everton untuk Manchester United.

Sejak itu Rooney telah memenangi empat kejuaraan EPL, dua Piala Carling dan juga Piala Liga Juara-Juara Eropah.

Wilshere baru berusia 20 tahun dan dia juga mahu mengecapi nikmat kejuaraan sepertimana Rooney. Persoalannya, bolehkah dia mencapai cita-cita tersebut bersama Arsenal?

Jika apa yang telah ditunjukkan oleh RVP ini tidak diambil sebagai satu pengajaran, tidak mustahil Arsenal akan berhadapan dengan penghijrahan keluar beramai-ramai pemain ternama dan berbakat seperti Walcott dan Wilshere selepas ini.

Kesabaran RVP ada hadnya (lapan tahun kesemuanya) dan sebagai pemain ternama dia mahu memenangi trofi dan mengecapi kejuaraan, bukan sekadar menang perlawanan mingguan liga.

Artikel Lain