suria

Sektor Swasta Disaran Terus Sokong Sukan Malaysia

KUALA LUMPUR: Sektor swasta disaran supaya terus menyokong sukan Malaysia dan memupuk semangat kesukanan dalam kalangan ribuan atlet muda di negara ini.

Pengerusi SportExcel Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar berkata mereka boleh melakukannya dengan melabur dalam mengenal pasti atlet berbakat dan program pembangunan.

"Sukan kekal sebagai matlamat penyatuan untuk semua rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, sektor swasta harus memberi sokongan penuh untuk sukan Malaysia. Dan SportExcel menawarkan platform CSR (tanggungjawab sosial korporat) yang cemerlang bagi syarikat," katanya pada pelantikan anggota baharu SportExcel di sini, Isnin.

Beliau berkata ia adalah misi SportExcel untuk membantu atlet Malaysia berbakat mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa, dan, dengan berbuat demikian, ia merupakan penghormatan kepada negara.

SportExcel hari ini menerima sebanyak RM230,000 nilai tajaan daripada empat anggota baharu UMS Corporation Sdn Bhd, AmBank Group, Carlsberg Malaysia dan Paul Chua & Co, menjadikan anggota SportExcel kepada 21.

Tunku Imran berkata kira-kira RM800,000 diperlukan setahun bagi menjayakan program pembangunan remaja.

Dalam perkembangan lain, Tunku Imran, yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata keputusan memilih penerjun Sarawak, Pandelela Rinong, sebagai pembawa bendera negara untuk sukan Olimpik London adalah persetujuan bersama semasa mesyuarat pengurus pasukan yang dipengerusikan chef de mission Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Tunku Imran berkata Pandelela adalah atlet yang gigih dan sentiasa konsisten dalam persembahannya.

"Dan saya berfikir ini adalah masanya kita memilih atlet wanita sebagai pembawa bendera," katanya tentang Pandelela, yang menjadi pembawa bendera wanita pertama negara yang diberi penghormatan mengetuai kontinjen negara di sukan Olimpik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain