suria

Nicol Berdepan Bintang Terkemuka Dalam Memburu Kejuaraan

MELBOURNE: Ratu skuasy Malaysia, Datuk Nicol David akan menjadi antara lapan pemain skuasy terkemuka dunia berentap di kejohanan berprestij Terbuka Australia 2012 bulan depan.

Nicol, juara nombor satu dunia dijangka berdepan dua pemain England, Jenny Duncalf, Laura Massaro dan juara 2010, Madeline Perry dari Ireland, dalam memburu kejuaraan di kejohanan tersebut.

Walaupun penyertaan sudah dimuktamadkan bagi lelaki, bagi wanita pula hanya ditutup lewat pada Selasa, lapan daripada 10 pemain terkemuka sudahpun mengesahkan akan mengambil bahagian dalam kejohanan terbuka itu yang akan berlangsung di Canberra dari 13 hingga 19 Ogos depan.

Bekas juara Annie Au (Hongkong), Joelle King (New Zealand), Rachael Grinham dan Kasey Brown (kedua-duanya dari Australia) akan juga menunjukkan persembahan mereka di Canberra nanti.

Sementara itu, dalam kategori lelaki, juara bertahan, Ramy Ashour telah mencapai impiannya apabila pemain dari Mesir itu diputuskan bermain pada perlawanan pembukaan.

Ashour menjadi tumpuan kegemaran memenangi kejuaraan Terbuka Australia kali kedua berturut-turut kali ini apabila pesaing utamanya, Nick Matthew dan James Willstrop memilih untuk tidak datang ke Canberra tahun ini.

Kemungkinan pemain Mesir itu akan bertemu pemain Malaysia, Nafiizwan Adnan pada pusingan kedua permainan yang dijangka berdepan pemain nombor satu Australia, Cameron Pilley di peringkat separuh akhir.

Pilley juga akan bermain pada pusingan pembukaan yang dijangka menentang dua pemain Mesir lain - Omar Abdel Aziz dan pilihan ketiga Omar Mosaad - sekiranya beliau mahu mara ke peringkat akhir.

Pemain pilihan kedua dari England, Peter Barker akan berdepan perlawanan sengit bertemu bintang yang sedang meningkat nama, Max Lee dari Hongkong sebelum berkemungkinan menghadapi pemain nombor satu dari Czech, Jan Koukal.

Ryan Cuskelly akan bertemu pemain Kuwait, Abdullah Al Muzayen bagi perlawanan pertama, manakala rakan senagara dari New South Wales, Matthew Karwalski akan melawan Mosaad.

Hanya satu sahaja perlawanan yang menyaksikan pemain Australia berentap iaitu, Zac Alexander dari Brisbane akan menentang pemain tawaran, Rex Hedrick dari Victoria. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain