suria

Sukan Olimpik: Josiah Bawa Cabaran Acara Pecut

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memutuskan pelumba trek senior, Josiah Ng akan menggalas cabaran negara dalam acara pecut pada Sukan Olimpik London 2012, bulan depan.

Manakala Mohd Azizulhasni Awang sebagai pengganti dalam acara pecut dan pelumba utama acara keirin.

Pemilihan dua pelumba itu diputuskan dalam mesyuarat exco pertama PKBM semalam, kata Timbalan Presiden Datuk Naim Mohamad.

"Pemilihan Josiah dan Mohd Azizilhasni dipersetujui oleh ketua jurulatih John Beasley," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dengan pelumba lebuh raya Mohd Adiq Husainie Othman di Bukit Kiara, di sini, Jumaat.

Naim memperjelaskan bahawa bahawa perlu merancang dengan teliti sekira berlaku sesuatu kepada pelumba utama.

"Kalau ikut format dulu, kita boleh hantar dua pelumba untuk satu acara tetapi sekarang formatnya sudah berubah.

"Jika kita hanya hantar seorang pelumba dan berlaku sesuatu kepadanya, kita akan kehilangan semua peluang di mana kita telah melayakkan diri secara merit.

"Kita akan bincang lebih lanjut semasa kita melapor diri di Perkampungan Sukan pada 23 Julai," katanya.

Dengan keputusan itu, Naim berkata Josiah dan Mohd Azizulhasni akan diberi kad akreditasi untuk beraksi di London.

Di samping itu, beliau berkata Malaysia diberi dua tempat untuk acara lebuh raya.

Skuad berbasikal negara ke Olimpik London terdiri daripada Mohd Azizulhasni, Josiah dan Fatehah Mustafa untuk acara trek, serta Mohd Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Rusli untuk acara lebuh raya. - BERNAMA

Artikel Lain