suria

Prospek Pungutan Pingat Malaysia Lebih Tinggi Di Olimpik London - Tunku Imran

KUALA LUMPUR: Kontinjen negara mempunyai prospek yang lebih baik dalam pungutan pingat pada Sukan Olimpik London bulan depan berbanding di Beijing empat tahun lepas, kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Beliau berkata pada temasya yang berlangsung dari 22 Julai hingga 12 Ogos itu, pungutan pingat disasarkan bukan sahaja menerusi acara badminton malah dalam tiga acara lain iaitu memanah, terjun dan berbasikal trek.

"Fokus utama MOM dan semua rakyat Malaysia adalah Sukan Olimpik London 2012 yang mana Malaysia mempunyai harapan tinggi memenangi pingat emas pertama Olimpik," katanya semasa berucap pada perhimpunan agung tahunan ke-31 MOM di Wisma MOM di sini Sabtu.

Sehingga kini, 28 atlet negara berjaya melayakkan diri ke Olimpik London dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 34 atlet selepas enam slot tambahan menerusi renang (tiga), olahraga (dua) dan angkat berat wanita (satu) diputuskan minggu depan.

Pada Olimpik Beijing 2008, Malaysia menghantar 33 atlet ke temasya itu.

Tunku Imran berkata MOM juga berharap Kuala Lumpur akan disahkan sebagai tuan rumah persidangan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) ke-127 pada 2015.

Beliau berkata, Kuala Lumpur disenarai pendek Lembaga Eksekutif IOC sebagai tuan rumah persidangan itu bersama beberapa bandar raya lain dan perkara itu akan diputuskan dalam sidang jawatankuasa tersebut di London pada 26 Julai ini.

Beliau turut meminta semua persatuan sukan kebangsaan yang bergabung dengan badan induk sukan negara itu supaya bekerja lebih keras bagi mengekalkan kejayaan yang dicapai serta berusaha memperbaiki prestasi atlet masing-masing.

"Untuk mencapai matlamat ini, adalah penting amalan tadbir urus yang baik setiap masa dalam persatuan sukan kebangsaan dan bersatu dalam pembangunan sukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain