suria

Koo & Tan Perlu Main Agresif Untuk Raih Pingat Olimpik

KUALA LUMPUR: Beregu utama negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong, mampu meraih pingat pada temasya Sukan Olimpik di London dengan syarat mereka bermain secara agresif dan bukannya defensif, kata jurulatih Pang Cheh Chang.

Beliau berkata prestasi beregu itu, yang kini menduduki ranking keenam dunia, menunjukkan peningkatan baru-baru ini ketika beraksi pada Kejohanan Premier Siri Super Terbuka Indonesia dan membuktikan mereka sudah menemukan keyakinan diri untuk menempuh perlawanan bulan depan.

"Semasa di Terbuka Indonesia mereka banyak menyerang dan akhirnya mereka berjaya lepasi sehingga ke peringkat separuh akhir...nampak banyak perubahan permainan mereka tetapi tidak cukup dengan kita harapkan.

"Sekarang ini, dalam latihan kita lebih tekankan kepada 'serangan'. Di Olimpik, jika kita banyak menyerang, peluang untuk menang itu besar," katanya dalam majlis makan tengahari bersama media di Stadium Bukit Juara, di sini Khamis.

Turut hadir Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh, Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Cai, jaguh negara Datuk Lee Chong Wei, jurulatih lelaki negara, Rashid Sidek dan Tey Seu Bock dan jurulatih beregu lelaki negara Tan Kim Her.

Pang juga berharap penampilan kedua anak buahnya pada temasya berprestij itu membuahkan hasil dan mahu beregu utama negara bersiap sedia seratus peratus pada hari perlawanan.

"Dalam acara beregu lelaki tiada pasangan yang dominan, dan peluang untuk menang terletak kepada sesiapa sahaja. Ia bergantung kepada mood dan persediaan mental yang maksimum pada hari perlawanan," katanya.

Pada temasya Olimpik London, sandaran pingat terletak pada tiga tonggak utama negara iaitu Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Koo dan Tan (beregu lelaki) dan beregu campuran negara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

Mereka dijadualkan akan berlepas ke Bath University, United Kingdom 12 Julai depan bagi menjalani persiapan terakhir sebelum berangkat ke kota London pada 23 Julai depan.

Pada temasya Olimpik Beijing 2008, Koo dan Tan hanya mampu mara ke peringkat suku akhir selepas tewas kepada pasangan Indonesia Markis Kido dan Hendra Setiawan.

Malaysia pernah mencatat sejarah apabila bekas beregu lelaki negara yang juga pasangan adik-beradik, Razif Sidek dan Jalani Sidek meraih pingat gangsa pada edisi 1992 di Barcelona manakala Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock telah menghadiahkan pingat perak pada Olimpik Atlanta edisi 1996. - BERNAMA

Artikel Lain