suria

Liga Super: Butler Kecewa Terengganu Gagal Menang Di Tempat Sendiri

KUALA TERENGGANU: Terengganu sepatutnya menang ketika menentang Kelantan dalam pertandingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam tadi sekiranya dapat memanfaatkan peluang yang diperoleh mereka.

Jurulatihnya Peter Butler berkata Terengganu sungguh tidak bernasib baik kerana cuma mampu memperoleh satu mata dalam perlawanan yang berakhir seri 2-2 itu.

"Bagi saya keputusan itu tidak begitu menggembirakan kerana sepatutnya Terengganu menang dalam perlawanan itu," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Menurut Butler Terengganu menguasai hampir keseluruhan perlawanan terutamanya dalam separuh masa kedua, namun nasib tidak menyebelahi mereka.

Terengganu ketinggalan 2-0 pada minit ke-5 dan ke-20 sebelum pasukan tuan rumah memperoleh gol pertama pada minit ke-40. Gol kedua Terengganu diperoleh minit ke-57.

Bekas jurulatih Kelantan itu berkata beliau melihat ada sedikit kelemahan terutamanya di bahagian pertahanan dan masalah itu akan diatasi segera sebelum bertandang ke Kedah 30 Jun ini.

Sementara itu, jurulatih Kelantan Bojan Hodak menyifatkan keputusan perlawanan itu sebagai adil tetapi beliau terkilan kerana pasukannya hanya mencatat keputusan seri.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain