suria

Malaysia Mampu Bangunkan Pemain Bola Sepak Tempatan Yang Baik - Shabery

PUTRAJAYA: Kejayaan skuad negara membelasah Filipina 7-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Asia B-22 di Stadium Aung San, Yangon, Isnin, membuktikan bahawa Malaysia berupaya membangunkan pemain bola sepak tempatan yang baik, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata kejayaan itu menguatkan kepercayaan bahawa dalam sukan bola sepak, negara tidak boleh bergantung kepada pemain import atau pemain luar yang diberi taraf kerakyatan untuk mewakilinya.

Menurutnya ini kerana kebanyakan pemain dari luar datang ke Malaysia hanya selepas mereka tidak dapat bermain di kelab-kelab profesional di tempat masing-masing atas pelbagai sebab dan ada yang sudah lanjut usia.

Katanya kejayaan membelasah Filipina itu cukup manis kerana pasukan bola sepak senior kebangsaan sebelum ini diberi cabaran hebat oleh pasukan senior Filipina, namun pasukan muda negara mudah menewaskan lawan mereka itu, semalam.

"Bagaimanapun kita tahu Korea Selatan adalah pasukan yang kuat dalam kumpulan ini dan saya harap kita akan terus menang dalam perlawanan akan datang," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG) dan Golf House Academy (GHA) di lobi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini.

Ahmad Shabery mengingatkan pasukan negara supaya berhati-hati apabila berdepan pasukan Myanmar kerana prestasi skuad tuan rumah itu dilihat cukup mantap sejak kebelakangan ini, selepas negara itu memperbaharui sistem liganya.

Perlawanan Malaysia berikutnya ialah menentang Taiwan pada Khamis ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain