suria

Lebih 1,500 Peserta Bakal Beraksi Pada Triatlon Antarabangsa PD

PORT DICKSON: Lebih 1,500 peserta tempatan dan antarabangsa dijangka menyertai Triatlon Antarabangsa Port Dickson 2012 yang akan diadakan di Avillion Admiral Cove, di sini pada 7 dan 8 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan Datuk Mohammad Razi Kail berkata setakat ini 37 negara dijangka menyertai acara itu dan antaranya Singapura, Australia, Hong Kong, Jepun, Indonesia, United Kingdom dan Macau.

"Buat kali pertama lima negara iaitu Croatia, Colombia, Iran, Myanmar dan Turki turut menghantar peserta. Antara negara yang menghantar peserta teramai ialah Singapura seramai 416 orang diikuti United Kingdon (63), Australia (42) dan Jepun (26).

"Pada tahun ini penyertaan didapati meningkat, sekali gus menjanjikan saingan lebih mencabar. Pada kali ini juga mencatatkan sejarah apabila buat pertama kali menerima penyertaan daripada peserta termuda berusia enam tahun dan peserta tertua berusia 74 tahun, selain orang kurang upaya (OKU)," katanya, Rabu.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan dengan dua kategori utama iaitu Olimpik yang membabitkan berenang sejauh 1.5 kilometer, berbasikal (40km) dan berlari (10km) dan Sprint membabitkan renang (750 meter), berbasikal (20km) dan berlari (5km).

Manakala dua kategori lain ialah berpasukan berganti-ganti dan kanak-kanak.

Acara triatlon tersebut merupakan sukan yang menguji kekuatan mental dan fizikal para atlet anjuran kerajaan negeri Sembilan bersama Trisportz Event Management dan Avillion Admiral Cove.

Penganjuran kali ke-11 ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM50,000.

Mohammad Razi berharap acara itu mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini dan menyaksikan acara tahunan bertaraf antarabangsa itu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain