suria

Kelayakan AFC B-22: Malaysia Belasah Filipina 7-0

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan kemenangan pertama dalam aksi kedua Kumpulan G Kejohanan Pusingan Kelayakan Piala AFC Bawah 22 (B-22) selepas membelasah Filipina 7-0 di Stadium Aung San, Myanmar, Isnin.

Pada perlawanan pembukaan Sabtu lepas, Malaysia kalah 2-3 kepada Korea Selatan.

Ketua jurulatih skuad B-22 negara Ong Kim Swee, yang mengekalkan sebahagian besar pemain yang beraksi ketika menentang Korea Selatan, tidak perlu menunggu lama apabila pemain kelahiran Sabah, Mohd Rozaimi Abdul Rahman mengegar gawang Filipina seawal minit ketiga permainan.

Pemain pertahanan Mohd Fandi Othman menggandakan jaringan pada minit ke-33 sebelum Rozaimi menghasilkan gol kedua peribadi, dua minit kemudian.

Pemain tengah Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria menambah derita pasukan Filipina dengan gol keempat pada minit ke-40.

Rozaimi menambah dua lagi gol pada minit ke-68 dan 73 sebelum pemain tengah, D. Saarvindran memastikan kemenangan mutlak negara dengan gol terakhir pada minit ke-90.

Malaysia dijadualkan menentang Taiwan pada Khamis ini. - BERNAMA

Artikel Lain