suria

Pelari Kenya Ungguli Standard Chartered KL Maraton 2012

KUALA LUMPUR: Pelari jarak jauh dari Kenya mendominasi kedudukan teratas dalam kategori lelaki dan wanita pada Standard Chartered KL Maraton 2012, di sini Ahad.

Juara bertahan Kennedy Kiproo Lilan dari Kenya mengungguli perlumbaan itu dengan masa dua jam 14 minit dan 45 saat untuk mengenepikan rakan senegara Charles Mwai Kanyao dan Japhet Kipchirchir Kipkorir, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dengan masa 2:15:22s dan 2:16:37s dalam perlumbaan sejauh 42.2km, yang bermula dan berakhir di Dataran Merdeka.

Kennedy menerima hadiah wang tunai US$17,500 (RM55,888) manakala Charles (US$7,500 - RM23,952) dan Japhet (US$5,000 - RM15,968).

"Saya sangat gembira kerana ini adalah kemenangan kedua saya pada perlumbaan ini. Saya mensasarkan untuk mencipta 'hattrick' pada Standard Chartered KL Maraton 2013.

"Pada hari ini, keadaan dan cuaca cukup bagus dan saya tidak menghadapi sebarang masalah dan kecederaan," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan itu.

Kira-kira 28,000 peserta yang terdiri daripada pelumba profesional dan amatur termasuk 1,400 pelumba luar dari 40 negara menyertai perlumbaan sehari itu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia Berhad, Osman Morad.

Sementara itu, pelumba Kenya Elizabeth Cheruiyot Chemwemo memenangi kategori maraton penuh wanita sejauh 42.2km dengan mengatasi Tigist Memuye Gebeyahu dari Ethiopia dan rakan senegara Rose Kerubo Nyangacha.

Elizabeth mencatatkan masa terbaiknya 2:40:24s sementara Tigist (2:40:33s) dan Rose (2:41:00s).

Pelari Kenya berusia 36 tahun itu menerima hadiah wang tunai US$17,500 (RM55,888.35) manakala Tigist (US$7,500 - RM23,952) dan Rose (US$5,000 - RM 15,968).

Pelari jarak jauh negara, Shaharudin Hashim pula memenangi perlumbaan maraton penuh kategori lelaki Malaysia manakala Emelyn Teo mengungguli kategori wanita Malaysia.

Shaharudin dan Emelyn, masing-masing menerima US$2,500 (RM7,984).

"Ini kemenangan ketiga saya pada Standard Chartered KL Maraton. Saya telah membuat persiapan selama tiga bulan sebelum kejohanan ini dan berharap dapat mempertahankan kejuaraan pada kejohanan ini tahun depan," katanya.

Senarai pemenang pada Standard Chartered KL Maraton 2012:

Maraton Penuh Terbuka Lelaki

1. Kennedy Kiproo Lilan Kenya 2 jam 14 minit 45 saat

2. Charles Mwai Kanyao Kenya 2:15:22s

3. Japhet Kipchirchir Kipkorir Kenya 2:16:37s

Maraton Penuh Terbuka Wanita

1. Elizabeth Jeruiyot Chemweno Kenya 2:40:24s

2. Tigist Memuye Gebeyahu Ethiopia2:40:33s

3. Rose Kerubo Nyangacha Kenya2:41:00s

Maraton Penuh Lelaki Malaysia

1. Shaharudin Hashim2:42:27s

2. Fabian 49:01s

3. Foo Gen Lin2:54:01s

Maraton Penuh Wanita Malaysia

1. Ling Mee Eng 3:36:48s

2. Emelyne Teo Jia Wei 3:39:36s

3. Megan Foo Bee Fon3:40:16s - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain