suria

Euro 2012: Itali Singkir England Melalui Sepakan Penalti

Young (no 11) dipujuk rakan sepasukan, John Terry selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti buat pasukan England.
Young (no 11) dipujuk rakan sepasukan, John Terry selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti buat pasukan England.
Young (no 11) dipujuk rakan sepasukan, John Terry selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti buat pasukan England.

PASUKAN England terpaksa berputih mata untuk mara ke separuh akhir selepas tewas 2-4 kepada Itali melalui penentuan sepakan penalti pada aksi suku akhir Euro 2012 di Kiev, awal pagi Isnin.

Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada masa permainan sehingga masa tambahan, England terpaksa akur dengan keputusan sepakan penalti tersebut sekali gus impian untuk beraksi ke separuh akhir gagal dilaksanakan.

Ashley Young dan Ashley Cole gagal menyempurnakan sepakan penalti buat England, walaupun pemain Itali, Riccardo Montolivo sebelum itu yang menjadi pemain kedua mengambil sepakan juga melakukan perkara yang sama.

Badi kegagalan penalti beterusan buat pasukan The Three Lions untuk kali keenam dalam saingan Euro dan Piala Dunia dalam tempoh 22 tahun.

Pengurus pasukan, Roy Hodgson mengakui pasukan tidak bertuah selepas beraksi 120 minit biarpun berjaya mengekang 35 percubaan Itali berbanding hanya sembilan percubaan yang dilakukan oleh anak-anak buahnya.

"Sesiapa sahaja boleh gagal melakukan sepakan penalti. Mereka bukan tidak bersungguh-sungguh melakukan tendangan itu, tetapi sepakan Young hampir mencecah jaringan, manakala sepakan Cole berjaya diselamatkan Gianluigi Buffon.

"Reputasi semua pemain tidak boleh dinilai ketika aksi sepakan penalti ini, tetapi perlu melihat kembali peranan mereka dalam empat perlawanan sebelum ini yang tidak tewas.

"Kami menggunakan senjata kami dengan betul sehingga tamat permainan dana semua pemain perlu berbangga dengan apa yang telah mereka lakukan.

"Saya telah banyak belajar mengenai semua pemain dan menilai mereka dari segi dedikasi dan yang jelas mereka telah bekerja keras untuk England.

"Semangat perjuangan mereka bukan sahaja pada perlawanan ini, malah perlu dilihat pada tiga aksi sebelum ini," katanya.

Dengan kemenangan dramatik ini, Itali bakal bertemu pasukan Jerman pada aksi separuh akhir pada 29 Jun ini di Warsaw.

Senarai pemain:

England: Hart, Johnson, Cole, Terry, Lescott, Gerrard, Young, Parker, Rooney, Welbeck

Itali: Buffon, Balzaretti, Abate, Barzagli, Bonucci, Marchisio, De Rossi, Montolivo, Pirlo, Balotelli, Cassano

Artikel Berikut

Artikel Lain