suria

Mohd Fauzan & Mariana Juara ITT Elit GP Kelantan

KUALA LUMPUR: Pelumba kebangsaan, Mohd Fauzan Ahmad Lufti dan Mariana Mohamed pada Sabtu dinobatkan juara acara ujian masa individu (ITT) elit lelaki dan wanita pada Kejohanan Grand Prix Kebangsaan Sirkit Kelantan sejauh 52.8 kilometer di Tok Bali, Pasir Puteh.

Mohd Fauzan merakamkan masa 1 jam 13 minit 55 saat mengatasi dua pencabar terkemuka, Mohd Saufi Mat Senan (Terengganu Cycling Team - TSG) dan Ng Yong Li (Kuala Lumpur) yang masing-masing mencatat masa 1:15:06s serta 1:15:12s.

"Awalnya, saya panik kerana tempat duduk hampir tercabut pada baki 15 kilometer terakhir. Saya rasa sangat tidak selesa. Ini kerana tempat duduk itu mengganggu konsentrasi saya untuk berkayuh. Ada kalanya saya hampir putus asa," katanya dalam kenyataan.

Mohd Fauzan, yang mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM), berkata beliau terpaksa menghadapi masalah untuk melawan angin kencang sepanjang perlumbaan menyebabkan kehilangan banyak tenaga dan menjangka Yong Li dan Saufi bakal merakam masa terbaik. "Perlumbaan hari ini diadakan di tepi kawasan laut. Jadi sudah tentu angin sangat kuat. Mereka (Yong Li dan Saufi ) pula adalah dua pelumba ujian masa individu yang sangat kuat," katanya.

Sementara itu, Mariana yang mewakili Selangor mencatat 39:57s untuk mengetepikan pencabarnya dari Kedah, Masziyaton Mohd Radzi yang menduduki tempat kedua dan pelumba Sarawak, Nur Azimah Abd Rashid di tempat ketiga dengan masing-masing mencatat masa 41:05s serta 42:10s.

Kejayaan Mariana juga membuktikan faktor kecederaan dialaminya ketika menjalani sesi pemilihan untuk Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012 (ACC 2012) di Putrajaya awal Januari lepas tidak menghalangnya muncul juara hari ini.

"Saya gembira kerana menang biarpun ini adalah antara perlumbaan terawal saya selepas pulih daripada kecederaan," kata Mariana. -BERNAMA

Artikel Lain