suria

Liga Malaysia: ATM Kekal Kedudukan Teratas

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mengekalkan kedudukan di persada Liga Perdana selepas mencatatkan kemenangan tipis 3-2 ke atas Johor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Kemenangan ke-14 daripada 19 perlawanan itu membolehkan skuad bimbingan B. Sathianathan untuk terus menerajui kedudukan liga dengan 45 mata.

Tiga gol ATM pada perlawanan tersebut dijaringkan oleh Marlon Alex James pada minit ke-20, Irwan Fadli Idrus (47) dan Christee Jayaseelan pada minit ke-63 manakala dua gol Johor dijaringkan oleh Mohd Yusri Abas pada minit ke-21 dan Mohd Munir Amran pada minit ke-42.

Pesaing mereka, Pahang pula gagal merapatkan jurang mata selepas terikat 1-1 ketika menentang wakil kelab Pulau Pinang, USM FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Pahang membuka jaringan pada minit ke-13 menerusi penyerang import dari Rusia, Boris Kochkin pada minit ke-13 sebelum pasukan pelawat menyamakan kedudukan menerusi Mohd Shaiful Azrin, tujuh minit kemudian.

Wakil kelab Lembah Klang, Sime Darby yang kalah 0-2 kepada USM FC pada Isnin lepas, bangkit semula dengan membelasah MP Muar 6-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Skuad bimbingan Ismail Zakaria itu memulakan pesta gol seawal minit kedua permainan menerusi Mohd Zamri Hassan sebelum penyerang berbisa mereka dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh menyumbat dua gol pada minit ke-25 dan 28.

Tiga lagi gol pasukan kelab tersebut dijaringkan oleh Leandro Teofilo pada minit ke-39, Mohd Faiz Mohd Isa pada minit ke-54 dan Mohd Irme Mat, enam minit kemudian.

Sementara itu, dalam aksi tunggal Liga Super, Felda United kalah 0-1 kepada Johor FC menerusi jaringan tunggal Mohd Izuan Jarudin pada minit ke-54 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Keputusan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan kedua-dua pasukan yang masih menghuni tangga ke-10 dan 11 dalam carta Liga Super.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain