suria

Jumlah Muktamad Atlet Malaysia ke Olimpik Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin mendapat tambahan enam slot lagi ke Olimpik 2012 di London melalui penyertaan 'wild card', menjadikan jumlah atlet negara ke temasya sukan terbesar dunia itu 34 orang.

Pengarah Bahagian Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail berkata sehingga kini, 28 atlet negara layak beraksi di Olimpik sama ada melalui merit atau penyertaan wild card.

"Jumlah sebenar atlet layak ke Sukan Olimpik akan diketahui selewat-lewatnya awal minggu depan selepas persatuan induk antarabangsa setiap sukan memuktamadkan jumlah slot yang akan diberi kepada negara-negara yang menjadi anggotanya," katanya, Khamis.

Beliau berkata enam slot tambahan itu dijangka diisi melalui acara renang (3), olahraga (2) dan angkat berat wanita (1).

Bernama difahamkan satu daripada slot acara renang telah diisi oleh Christina Loh dan dua slot acara olahraga diberi kepada atlet 400m lari berpagar, Noraseela Mohd Khalid dan atlet lompat tinggi, Lee Hup Wei.

Atlet angkat berat wanita negara, Azizah Fadzil masih menunggu keputusan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa berhubung penyertaannya ke London melalui 'wild card' berikutan slot untuk Malaysia diberikan kepada atlet Vietnam.

Ahmad Shapawi berkata memandangkan majoriti atlet ke Olimpik kini berlatih di luar negara mengikut program masing-masing, MSN tidak akan mengadakan kem latihan pusat seperti kebiasaan.

Sejak penyertaan sulung Malaysia di Sukan Olimpik Melbourne, Australia pada 1956, jumlah atlet teramai dalam kontinjen negara ialah 64 orang semasa Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun pada 1964.

Berikut ialah senarai atlet yang layak ke Olimpik London:

Memanah - Cheng Chu Sian, Khairul Anuwar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Nurul Syafiqah Hashim.

Penerjun - Bryan Nickson Lomas, Pandelela Rinong, Yeoh Ken Nee, Cheong Jun Hoong, Huang Qiang, Traisy Vivien Tukiet, Wendy Ng Yan Yee dan Leong Mun Yee.

Renang (Perairan Terbuka) - Heidi Gan

Badminton - Datuk Lee Chong Wei, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, Chan Peng Soon/ Liu Ying, Tee Jing Yee, Vivian Kah/Woon Khe Wei.

Berbasikal - Mohd Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapha, Adiq Hussainie Othman, Amir Mustafa Rusli.

Menembak - Nur Suryani Muhd Taibi

Pelayaran - Khairul Nizam Mohd Affendy

Lawan Pedang - Yu Peng Kean

BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain