suria

Emas Olimpik Lebih Bermakna Daripada Ganjaran RM2 Juta:Kok Keong

SHAH ALAM: Kejayaan memiliki pingat emas lebih bernilai dan bermakna berbanding ganjaran RM2 juta yang dijanjikan kepada atlet yang berjaya meraih pingat emas pertama Olimpik negara, menurut bekas jaguh badminton negara, Foo Kok Keong.

Beliau berkata apa yang penting bagi atlet yang meraih emas dalam sesuatu kejohanan itu ialah dapat memperteguh maruah diri dan negara.

"Tidak dinafikan wang adalah galakan bagi sesuatu kejayaan tetapi keupayaan mendapat pingat emas, terutama dalam kejohanan besar seperti Olimpik, terlalu bermakna dan bernilai, lebih daripada segalanya," katanya pada Rabu.

Kok Keong, 49, pemain perseorangan yang menyertai barisan pemain Malaysia menjulang Piala Thomas edisi 1992, berkata setiap atlet perlu berusaha habis-habisan untuk mencapai kejayaan.

"Bukan senang untuk dapat emas di Olimpik, namun tiada yang mustahil," katanya, sambil menambah kata ganjaran adalah bonus dan motivasi buat atlet, namun ia tidak harus menjadi fokus utama.

Media baru-baru ini melaporkan Majlis Sukan Negara mengumumkan ganjaran RM1 juta melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan manakala sebuah syarikat turut menawarkan RM1 juta buat atlet yang meraih pingat emas pertama negara di Olimpik London bermula bulan depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain