suria

Terengganu Sasar 47 Emas Untuk Kekal Juara Sukma Kali Keempat

KUALA TERENGGANU: Terengganu menyasarkan memungut 47 pingat emas pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung di Pahang bulan depan bagi mengekalkan kejuaraan kali keempat berturut-turut.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata selain latihan dan komitmen yang serius oleh semua pihak yang terlibat, Terengganu juga mengambil langkah dengan melantik bapa-bapa angkat untuk setiap sukan yang disertainya.

"Bapa-bapa angkat ini akan memainkan peranan mereka dengan memberi nasihat dan motivasi kepada ahli-ahli sukan di bawah jagaannya.

"Selain itu kita juga mengekalkan pemberian insentif kepada atlet yang berjaya iaitu RM5,000 bagi atlet yang memperoleh pingat emas, RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa)," katanya kepada pemberita semasa Majlis Pelantikan Rasmi Ketua Kontinjen Terengganu ke Sukma Pahang di Wisma Darul Iman di sini Rabu.

Pegawai Daerah Kuala Terengganu Wan Nawawi Wan Ismail diplih sebagai Ketua Kontinjen Terengganu ke Sukma Pahang selepas diputuskan pemilihan oleh mesyuarat Exco.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan negeri Terengganu Zainol Abidin Husin.

Ahmad berkata walaupun ada dalam kalangan tiga atlet Terengganu yang tidak dapat bertanding di Sukma Pahang kerana mewakili negara pada temasya Olimpik di London, tetapi beliau berharap akan lahir nama atlet baru yang mampu menyumbangkan angka emas yang besar.

Tiga atlet Terengganu tersebut ialah Khairul Anuar Mohamad bagi acara memanah lelaki, Nur Shafiqah Hashim (memanah wanita) dan jaguh lumba basikal, Adiq Husainie Othman yang masing-masing mempunyai tugas lebih getir mengharumkan nama negara di temasya sukan bertaraf dunia itu.

"Antara sukan yang menjadi fokus kita ialah berbasikal kerana kita rasa boleh mendominasi walaupun ada ahli sukan berbasikal kita yang sudah lebih usia dan tidak layak menyertai Sukma kali ini," katanya.

Pada Sukma 2008, Terengganu yang menjadi tuan rumah melakar sejarah apabila buat julung kali muncul juara dan mengulangi kejayaan semasa Sukma di Melaka tahun 2010 serta meneruskan kejuaraan dalam Sukma Kuala Lumpur tahun lalu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain