suria

PABM Cadang Hantar Azizah Jalani Latihan Intensif Di China

KUALA LUMPUR: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) merancang menghantar Azizah Fadzil menjalani latihan di China dalam tempoh terdekat walaupun status atlet angkat berat wanita itu untuk beraksi pada Sukan Olimpik London masih belum diketahui.

Presiden PABM Zafarul Akhbar Kassim berkata pihaknya sedang berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membolehkan Azizah menjalani latihan intensif tersebut sebagai persiapan terakhir sebelum temasya itu bermula bulan depan.

"Walaupun status Azizah masih belum diketahui, latihan itu akan membolehkannya lebih bersedia (untuk bertanding di Olimpik) sekiranya disahkan layak. Latihan rutinnya di Bukit Jalil masih seperti biasa," katanya.

Azizah, 21, atlet daripada skuad pelapis angkat berat kebangsaan sebelum ini layak secara merit setelah berada di kedudukan lima teratas dalam kategori 53kg pada Kejohanan Kelayakan Zon Asia di Pyeongtaek, Korea Selatan pada April.

Namun perubahan ranking menyaksikan atlet Vietnam merampas kedudukan tersebut manakala atlet Malaysia berada di tempat keenam.

Hanya negara-negara yang berada di ranking lima terbaik bagi Zon Asia layak mendapat slot ke London.

Zafarul berkata pihaknya masih menunggu perkembangan terkini daripada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) berhubung nasib Azizah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain