suria

Skuad Badminton Mula Jalani Latihan Di Bath University Pada 12 Julai

KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara yang menggalas cabaran di temasya Sukan Olimpik, London akan menjalani latihan fasa terakhir mereka di Bath University, United Kingdom pada 12 Julai ini.

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh berkata pemain badminton akan berkampung selama 13 hari di Bath University, yang terletak di Somerset, 156km dari London.

"Mereka akan ke London pada 25 Julai. Senarai nama pemain ke London akan keluar pada hujung bulan ini dan kami kena pastikan mereka ikut program yang telah dirancang.

"Sudah tentunya peranan semua pihak iaitu penyokong dan media penting bagi memastikan atlet kita mempunyai keyakinan untuk mengalas cabaran," katanya kepada pemberita di Stadium Bukit Kiara di sini, Isnin.

Berbaki 39 hari lagi sebelum temasya Olimpik, Kenny berkata pemain perlu diberi tekanan bagi memantapkan lagi persediaan mental dan emosi agar persiapan dapat diperlengkap dengan baik.

"Sekarang ini masa agak kritikal, kami juga perlu bagi tekanan yang mencukupi kepada pemain sebab kalau tiada tekanan pun tidak boleh tapi pada masa yang sama, jangan beri tekanan yang berat, nanti mereka sukar mengawal emosi," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan pemain perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, beliau meminta semua pihak terus memberi sokongan kepada jaguh badminton negara itu dari aspek moral dan emosi.

"Kami masih belum berganjak dari sasaran kami. Objektif kami satu pingat emas. Buat masa ini, Chong Wei masih menjalani latihan fisioterapi dan saya difahamkan oleh jurulatihnya (Tey Seu Bock), Chong Wei sudah mula berlatih di gelanggang, saya rasa keadaannya semakin pulih," katanya.

Selain Chong Wei, pemain yang dijangka menyertai temasya Olimpik ialah pasangan beregu lelaki negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, beregu campuran, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying dan perseorangan wanita, Tee Jing Yi. - BERNAMA

Artikel Lain