suria

Semua Atlet Perlu Sokong Antara Satu Sama Lain: Razali

KUALA LUMPUR: Semua atlet, sama ada terpilih atau tidak menggalas cabaran ke temasya Sukan Olimpik London, perlu memberi sokongan kepada rakan lain bagi membantu mereka merealisasi pungutan pingat untuk negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim berkata setiap persatuan pasti membuat pemilihan atlet mereka dengan tepat untuk menyahut cabaran dan mengharumkan nama negara di temasya sukan peringkat antarabangsa itu pada Julai depan.

"Mewakili negara dalam Sukan Olimpik, bukan sahaja melibatkan atlet tetapi suara sokongan seluruh rakyat Malaysia.

"Ini bukan soal individu, tetapi ini soal siapa yang betul-betul layak mewakili negara," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada perlawanan persahabatan antara Kementerian Belia dan Sukan dengan pasukan Kedutaan Poland di padang Turf Sintetik, Majlis Sukan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pelumba lebuh raya kebangsaan Mohd Hariff Salleh yang mempertikai keputusan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kerana tidak menyenaraikannya ke temasya Olimpik London.

Razali turut mengulas isu pemain bola sepak Malaysia Nazmi Faiz Mansor yang dilayangkan kad merah gara-gara gagal mengawal emosi dan menyerang pemain Qatar pada perlawanan persahabatan dengan Qatar bagi skuad bawah 22 tahun pada Ahad.

Beliau menasihati pemain berkenaan agar lebih matang mengawal emosi.

"Kalau kita tengok, pergaduhan tersebut tidak seharusnya berlaku, saya percaya ada perkara yang mengganggu pemikiran beliau (Nazmi).

"Jadi saya harap pemain dapat membezakan antara perlawanan dan masalah lain kerana ia akan menjejaskan pasukan," katanya.

Razali berkata pemain muda yang bakal berhijrah ke kelab Portugal, Beira-Mar, Ogos depan itu berpotensi besar dan perlu bijak mengawal emosi jika ingin cemerlang dalam kariernya pada masa akan datang.

Skuad bawah 22 tahun Malaysia menewaskan Qatar 2-0 pada perlawanan persahabatan yang dicemari insiden kad merah itu pada babak pertama perlawanan.-BERNAMA

Artikel Lain