suria

Liga Perdana: ATM Belasah Perlis 7-0

KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berpesta gol apabila membelasah pasukan di tangga tercorot, Perlis 7-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Isnin malam.

Kemenangan ke-13 daripada 18 perlawanan yang diraih pasukan bimbingan B. Sathianathan itu membolehkan mereka mengutip 42 mata untuk terus mendahului carta liga.

Pada perlawanan itu, penyerang berbisa ATM Marlon Alex James membuka tirai jaringan seawal minit kelapan sebelum pemain pertahanan Aidil Zafuan Abdul Radzak menggandakan kedudukan pada minit ke-24 menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti pasukan Perlis.

Marlon kemudian menambah derita pasukan pelawat dengan menjaringkan tiga lagi gol pada minit ke-32, 37 dan 43.

Aidil Zafuan turut menambah gol kedua peribadi pada minit ke-47 perlawanan sebelum kapten pasukan Hairuddin Omar melengkapkan malam gemilang ATM dengan gol ketujuh pada minit ke-74.

Pesaing mereka, Pahang bagaimanapun dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada Johor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menerusi jaringan pemain import dari Argentina Muriel Juan Orlando pada minit ke-22 dan 86.

Harimau Muda B turut berpesta gol selepas membelasah MP Muar 5-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Muar.

Lima gol skuad bimbingan Ismail Ibrahim itu dijaringkan Mohd Syawal Nordin pada minit ke-31, Mohamad Syafiq Shalihin Mohd Noor (minit ke-55), Mohammad Ridzuan Abdunloh Pulo (minit ke-64), Mohd Norhamizaref Hamid (minit ke-66) dan Mohamad Yazid Zaini (minit ke-88).

Gol tunggal MP Muar dijaringkan pemain tengah Abidul Qahhar Roslan pada minit ke-39.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas wakil kelab Negeri Sembilan, Betaria FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Tiga jaringan PDRM dihasilkan pemain penyerang Khairul Izuan Abdullah pada minit ke-10, 41 dan 60 manakala gol tunggal pasukan pelawat dijaringkan Nasrullah Haniff pada minit ke-23.-BERNAMA

Artikel Lain