suria

Euro 2012: Jerman Tenang Mara Ke Suku Akhir

PASUKAN Jerman melangkah ke suku akhir Euro 2012 selepas menewaskan Denmark 2-1 pada aksi Kumpulan B menerusi jaringan kemenangan, Lars Bender, awal pagi Isnin.

Pengendali pasukan Jerman, Joachim Low mengakui dia tidak bimbang dengan aksi menentang Denmark biarpun keputusan perlawanan ini boleh menyebabkan pasukannya tersingkir.

"Saya mempunyai perancangan sendiri. Sudah tentu saya juga terfikir sekiranya Denmark memenangi perlawanan ini, tetapi saya tidak ada perasaan seperti itu.

"Saya lebih suka mengambil sikap tenang kerana perasaan panik tidak akan membawa kamu ke mana-mana.

"Bastian Schweinsteiger dan Sami Khedira sentiasa dapat mengawal keadaan dan dalam masa sama saya ada naluri bahawa kami akan menjaringkan gol," katanya.

Bagaimanapun Low mengakui perlawanan ini sangat sukar daripada apa yang dijangkakan.

“Kami agak kurang berbisa pada separuh masa pertama dan ini memudahkan Denmark menyamakan kedudukan," tambahnya.

Jerman akan bermain di suku akhir bertemu naib juara Kumpulan A iaitu Greece di Gdansk manakala Portugal bertemu juara kumpulan berkenaan iaitu Republik Czech di Warsaw, Khamis ini.

Lukas Podolski yang mencatat 100 kali beraksi dengan Jerman, membuka tirai jaringan pada minit ke-19 namun Michael Krohn-Dehli (m-24) menyamakan kedudukan lima minit kemudian.

Namun jaringan pada minit ke-80 oleh Bender mengubah keputusan dengan kemenangan berpihak kepada Jerman.

Senarai pemain:

Denmark:

1-Stephan Andersen; 6-Lars Jacobsen, 3-Simon Kjaer, 4-Daniel Agger, 5-Simon Poulsen; 8-Christian Eriksen, 19-Jakob Poulsen, 7-William Kvist, 21-Niki Zimling, 9-Michael Krohn-Dehli; 11-Nicklas Bendtner

Jerman :

1-Manuel Neuer; 15-Lars Bender, 14-Holger Badstuber, 5-Mats Hummels, 16-Philipp Lahm; 7-Bastian Schweinsteiger, 6-Sami Khedira; 13-Thomas Mueller, 8-Mesut Ozil; 10-Lukas Podolski; 23-Mario Gomez.

Artikel Berikut

Artikel Lain