suria

Khalmizan Fokus Pada Pelajaran Selepas Gagal Ke Olimpik

KUALA LUMPUR: Setelah gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik London bulan depan, pemanah negara Wan Mohd Khalmizan Wan Abd Aziz kini beralih arah dengan memberikan sepenuhnya tumpuan untuk menyambung pengajian peringkat ijazah di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Penuntut jurusan Pengajian Media itu berkata sudah tiba masa untuk beliau menghabiskan dua lagi semester pengajiannya tahun ini.

"Saya tetap berlatih seperti biasa di Majlis Sukan Negara (MSN) untuk terus kekal aktif dalam sukan memanah walaupun kembali semula ke kelas," katanya, Sabtu.

Atlet kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu berkata sukan memanah telah sebati dalam dirinya dan tidak terfikir untuk bersara daripada sukan itu.

Wan Mohd Khalmizan berkata beliau akan menyertai Kejohanan Memanah Universiti Dunia yang akan berlangsung di Sepanyol bulan depan.

"Saya harap mampu membuktikan sesuatu di Sepanyol," katanya.

Wan Mohd Khalmizan pernah beraksi di Sukan Olimpik Beijing, China pada 2008 bersama Cheng Chu Sian dan Mohd Marbawi Sulaiman secara merit tetapi trio memanah negara itu gagal meraih sebarang pingat.-BERNAMA

Artikel Lain