suria

Lim Yin Fun Mahu Gantinkan Mew Choo

KUALA LUMPUR: Pemain badminton remaja, Lim Yin Fun menyimpan hasrat mencipta nama sebagai perseorangan wanita terkemuka dunia, sekaligus menjadi pengganti kepada bekas perseorangan negara yang juga jurulatihnya, Wong Mew Choo.

Bagaimanapun, Lim, 18, mengakui masih banyak yang harus dia pelajari selain perlu menimba pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.

"Kena rajin berlatih dan banyak lagi yang perlu saya pelajari. Ketangkasan boleh diperbaiki lagi dan pengalaman masih belum cukup," katanya kepada Bernama pada Kejohanan Remaja Kebangsaan GP Akhir di Stadium Juara Bukit Kiara di sini, Sabtu.

Beliau yang mewakili Kuala Lumpur, melangkah ke pusingan akhir perseorangan wanita bawah 18 tahun selepas mudah menundukkan Cheong Sing Yueh dari Sabah 21-9, 21-9 pada peringkat separuh akhir.

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu akan bertemu rakan sekolahnya Lim Chiew Sien dari Johor pada perlawanan akhir esok. Lim (Chiew Sien) mengalahkan Boon Wei Ying dari Melaka 21-17, 21-17.

Selain itu, Lim (Yin Fun) berkata beliau tidak meletakkan harapan tinggi untuk meraih kejuaraan, sebaliknya kejohanan itu lebih merupakan persediaan baginya menghadapi Kejohanan Remaja Asia di Korea Selatan, November ini.

"Saya harap dapat membaiki kedudukan (di Kejohanan Remaja Asia). Tahun lepas saya hanya mampu ke pusingan kedua kejohanan," kata gadis berasal dari Kepong itu.

Sementara itu, dalam kategori perseorangan lelaki bawah 18 tahun, Soong Joo Ven dari Selangor akan berentap dengan rakan sepasukan Soo Teck Zhi dalam perlawanan akhir esok.

Soong menundukkan Tan Kian Meng dari Johor 21-17, 22-20, manakala Soo mengenepikan seorang lagi pemain Selangor, Chong Yee Han 14-21, 22-20, 21-15. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain