suria

Sukma 2012: Persiapan Kemudahan Kini Hanya Tinggal Dua peratus Selesai

KUANTAN: Persiapan kemudahan untuk menghadapi kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang hampir siap sepenuhnya dengan hanya kira-kira dua peratus sahaja lagi yang masih dalam tindakan.

Ketua Eksekutif Sukma Pahang Ahmad Hairi Hussain berkata insfrasktruktur itu akan siap seperti yang dijadualkan iaitu pada tarikh akhir 20 Jun ini.

"Kesemua persiapan kemudahan berjalan lancar yang melibatkan 24 jenis sukan termasuk lima sukan pilihan," katanya, Jumaat.

Beliau berkata berdasarkan lawatan teknikal daripada persatuan-persatuan sukan yang terlibat ke beberapa gelanggang kejohanan, hanya satu pertukaran gelanggang dibuat iaitu sukan golf dari Kelab Golf Diraja Pekan ditukar ke Kelab Golf Diraja Pahang di sini.

Katanya keseluruhan acara yang dipertandingkan dalam Sukma itu melibatkan 22 gelanggang dengan acara angkat berat akan diadakan di Pekan, silat dan basikal di Temerloh manakala selebihnya di Kuantan.

Ahmad Hairi berkata bagi sukan bola sepak, peringkat awal akan berlangsung di tiga padang Akademi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Gambang sebelum beralih ke padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 dan 2 untuk peringkat suku dan separuh akhir manakala perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur. "Kesemua atlet yang terlibat akan dibenarkan untuk mencuba gelanggang pertandingan dua hari sebelum kejohanan yang akan berlangsung 7 hingga 16 Julai mengikut jadual yang akan disusun," katanya.

Katanya berdasarkan pendaftaran atlet dan pegawai yang tamat 31 Mei lepas, seramai 5,828 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen terbabit dalam kejohanan itu.

Katanya ia melibatkan seramai 4,881 atlet dengan tuan rumah menyenaraikan atlet paling ramai 436 orang diikuti Selangor (411 atlet) dan Wilayah Persekutuan (400 atlet) manakala Brunei menghantar atlet paling sedikit iaitu 52 orang.

Katanya hanya lima negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Pahang yang akan menyertai kesemua 24 jenis sukan yang dipertandingkan.-BERNAMA

Artikel Lain