KUALA LUMPUR: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akan mendapatkan penjelasan daripada Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF) berhubung penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik London 2012.Ini berikutan slot untuk Malaysia beraksi pada temasya itu, dikatakan telah diberi kepada Vietnam. "Saya telah menghubungi pejabat IWF yang berpangkalan di Hungary bagi mendapat penjelasan semalam (Khamis), namun mereka tidak dapat mengesahkan perkara itu dan akan membuat penjelasan bertulis kepada PABM dalam masa terdekat," kata Presiden PABM, Zafarul Akhbar Kassim kepada Bernama pada Jumaat.Malaysia sebelum ini berada di ranking kelima Asia dan mendapat satu slot automatik ke Olimpik London, namun perubahan terkini ranking menyaksikan Vietnam yang sebelum ini berada di tangga keenam, kini di ranking kelima dan memperoleh slot ke temasya itu.Hanya lima negara terbaik Asia memperoleh tempat beraksi di Sukan Olimpik London yang akan bermula 22 Julai ini.Zafarul Akhbar berkata, kuota Malaysia itu diperoleh selepas menduduki tempat kelima pada Kejohanan Kelayakan Zon Asia di Pyeongtaek, Korea Selatan April lepas.PABM, kemudian menyenaraikan atlet angkat berat wanita negara, Azizah Fadzil bagi mengisi slot tersebut.Zafarul Akhbar berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan badan induk sukan negara itu telah menghantar surat bagi meminta penjelasan daripada IWF."PABM akan berusaha menyelesaikan masalah ini bagi memastikan Azizah dapat beraksi di London. Pada 8 Jun lalu, IWF sendiri telah menghantar surat pengesahan bahawa Malaysia layak mendapat satu slot kelayakan merit bagi acara wanita," katanya.Sementara itu, Azizah berkata, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada PABM dan percaya perkara itu dapat diselesaikan."Saya akan terus berlatih seperti biasa dan ia tidak menjejaskan tumpuan bagi persiapan ke Olimpik," katanya.Atlet berusia 21 tahun itu berkata, beliau pasrah jika tidak dapat beraksi di London dan akan memberikan tumpuan untuk Sukan Malaysia ke-15 di Pahang bulan depan. - BERNAMA