suria

Kejohanan Di Belgium, Jerman Ukur Kedudukan Azizulhasni

KUALA LUMPUR: Beberapa siri kejohanan di Belgium dan Jerman yang bakal disertai jaguh pelumba trek negara Mohd Azizulhasni Awang bulan depan, akan menjadi kayu pengukur kepada kedudukan atlet itu dalam kalangan pelumba terbaik dunia.

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad berkata, Mohd Azizulhasni dapat memanfaatkan peluang pada siri kejohanan itu untuk menilai prestasi pencabarnya menjelang Sukan Olimpik London dari 22 Julai hingga 12 Ogos ini.

"Pada kejohanan di Belgium dan Jerman kelak, kita tidak meletakkan sebarang sasaran.

"Bagaimanapun, kita akan menggunakan peluang itu untuk menilai tahap pelumba-pelumba terbaik dunia yang akan turut menyertai kejohanan-kejohanan tersebut. Ini sudah tentu memberi faedah kepada skuad negara," katanya kepada Bernama.

Mohd Azizulhasni yang digelar 'The Pocket Rocketman' akan beraksi dalam acara kegemarannya, keirin dan pecut 200 meter pada Sukan Olimpik London.

Ia merupakan penyertaan kali kedua kepada anak kelahiran Terengganu itu selepas Sukan Olimpik Beijing 2008, yang mana pada temasya itu beliau diberikan penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang semasa perarakan kontinjen Malaysia.

Selain Mohd Azizulhasni, pelumba simpanan pada Sukan Olimpik London, Josiah Ng dan pelumba trek wanita, Fatehah Mustapa akan turut ke Belgium bagi mengikuti latihan serta menyertai beberapa kejohanan pemanas badan.

Mereka akan berada di Belgium selama 22 hari sebelum mendaftar di perkampungan Sukan Olimpik London pada 22 Julai.

Naim percaya jaguh keirin negara itu mempunyai persediaan mental yang cukup mantap untuk menghadapi Sukan Olimpik.

"Azizulhasni penuh bersemangat dan kini memberikan tumpuan khusus kepada latihan. Saya yakin beliau mampu melakukan sesuatu di luar jangkaan," kata Naim. - BERNAMA

Artikel Lain